Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Idris: PASleak cuma nak jual berita, buat duit dengan Youtube

  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Seorang lagi pemimpin PAS tampil menolak kesahihan dokumen PASleak, yang antaranya menyatakan agenda campur tangan dalam kes mahkamah pemimpin Umno.

Seperti rakan sejawatnya Samsuri Mokhtar, Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut menyifatkan dokumen yang dikatakan bocor itu sebagai “sampah”.

“Nama pun leak (bocor), dah tentu tak betul. Saudara pun mengaji bab media kan? Kita nak ambil source (sumber) pun biarlah source yang betul.

“Nama pun leak. Biarlah kita ambil yang jelas. Jelas itu betul. Nama leak ini rubbish, kata MP Terengganu, saya setujulah.

“Sampah ya,” katanya yang juga menteri agama.

Kenyataan itu dibuat selepas ramai pemimpin kanan Umno, termasuk presidennya Zahid Hamidi, menuntut penjelasan dalam isu itu. 

Zahid melalui peguamnya malah membuat laporan polis.

Zahid Hamidi

Dalam sidang media di Putrajaya pagi ini, Idris berkata dia sebagai pemimpin nombor tiga PAS–satu peringkat dengan Samsuri dan Mohd Amar Abdullah–tidak pernah membincangkan agenda itu.

“Kami mesyuarat, tak pernah bincang bab-bab itu,” katanya.

Dia justeru menyifatkan dakwaan itu sebagai tindakan untuk menjual berita dan membuat duit melalui media sosial.

“Orang tak ada kerja lainlah tu, nak bagi laku berita. Berita pun tak nampak berapa laku, buat benda-benda begitu. 

Yang keduanya pula, yang, kadang-kadangnya nak bagi laku dia punya Youtube dia. Supaya orang bayar,” katanya.

Dia juga menyifatkaa dakwaan itu sebagai usaha musuh untuk meretakkan muafakat parti-parti Melayu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN)

“Kejayaan orang lain–musuh kita–apabila berlaku perpecahan di kalangan kita,” kata Idris.

PASleak merupakan dokumen yang dinamakan sebagai "Laporan political engagemen PAS Pusat". 

Ia merekodkan beberapa kesimpulan selepas pertemuan Samsuri dan Setiausaha Agung PAS sebagai "operatornya" .

Malaysiakini telah menghubungi nama-nama yang disebut dalam dokumen itu dan masih menunggu penjelasan mereka,

Portal ini tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen itu.

Antara semua nama yang disebut, setakat ini hanya Samsuri dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang menafikan kesahihan dokumen itu.