Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suhakam: Kenapa tahan pelarian jika tak boleh hantar mereka pulang?

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan menjelaskan sebab pelarian ditangkap dan ditahan di depot Imigresen, walaupun tanpa rancangan untuk menghantar mereka pulang.

Gesaan itu selepas Menteri Dalam Negari Hamzah Zainudin mengesahkan yang 528 tahanan yang melarikan diri dari  pusat tahanan sementara Imigresen di Sungai Bakap, Pulau Pinang adalah pelarian Rohingya yang sudah ditahan di situ sejak 2020.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph mempersoalkan langkah kerajaan untuk meletakkan pelarian dalam “tahanan tanpa tempoh tetap”.

“Jika ada iktiraf yang mereka adalah pelarian, kenapa perlu tahan mereka tanpa tempoh tetap seperti itu?

“Kenapa letakkan mereka dalam tahanan apabila anda tahu anda tak boleh hantar mereka pulang?

Jerald Joseph

“Depot Imigresen bertujuan hanya sebagai pusat sementara menunggu pengusiran (tahanan),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Joseph berkata kebimbangan Suhakam termasuklah dalam soal asas penangkapan dan keadaan tahanan, serta kuasa ketua pengarah Imigresen dalam menangani kes seumpama ini.

Katanya, walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen (PBB mengenai Status Pelarian 1951, aturan dibuat pada masa lalu untuk menampung pelarian dari negara lain, termasuk dari Aceh, Indonesia.

Dia berkata Suhakam turut merancang untuk melawat pusat tahanan di Sungai Bakap - antara pusat baru diwujudkan bagi mengurangkan kesesakan dan mengekang penularan Covid-19.

Undang-undang imigresen tidak membezakan antara pencari suaka dan pendatang asing tanpa dokumen.

Usaha untuk menghantar pulang pelarian adalah rumit memandangkan pelarian yang ada di Malaysia - terutama dari kalangan etnik Rohingya - tidak memiliki status warganegara.

[Baca berita asal]