Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas penyelia Felda dituduh palsukan tandatangan peneroka

Seorang bekas penyelia Felda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen penerimaan bayaran tunai.

Muhammad Aizat Zaidi didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sebuah kawasan Felda di Bera, Pahang kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, Aizat - sebagai penyelia Felda Sebertak - didakwa memalsukan dokumen senarai akuan penerimaan bayaran tunai paysheet (PS) pada Nov 2020 dan senarai akuan penerimaan bayaran tunai pendahuluan (PT) Dis 2020 dengan niat melakukan penipuan.

Tertuduh yang berasal dari Temerloh, Pahang, didakwa memalsukan tandatangan peneroka dengan niat hendak menyebabkan dokumen berkenaan sudah dibuat oleh peneroka antara bulan Nov dan Dis 2020.

Pendakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan itu dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari.

Jika sabit kesalahan, Aizat boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedu-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan dia melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 25 Mei ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.