Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pekerja OKU didakwa dipukul kerana tersilap hantar pesanan

Seorang pekerja sebuah rangkaian restoran terkenal dikatakan dipukul dan dimarahi atasannya selepas tersilap menghantar pesanan pelanggan.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Selangor dan mula menjadi perhatian selepas seorang saksi mengadu kepada pengguna Twitter dan menceritakan apa yang berlaku.

Melalui tangkap layar yang dimuat naik, pekerja OKU terbabit didakwa dipukul selepas pelanggan terbabit enggan membayar makanan yang dimakannya itu.

Di sebalik kesilapan tersebut juga, dakwa pengadu, pelanggan berkenaan tetap memakan hidangan berkenaan.

Apabila diminta membayar harga makanan berkenaan, katanya, pelanggan terbabit enggan.

Pada masa sama, katanya, gaji pekerja OKU itu akan dipotong atas kesilapan yang dibuatnya. Lebih menyedihkan, dakwa individu terbabit, OKU berkenaan ditumbuk serta dimarahi.

"Kadang saya kesian sangat tengok dia asyik kena marah. Saya tolong dan pujuk dia. Nampak muka dia sedih kena marah," katanya melalui perbualan berkenaan.

Sementara itu pegawai perhubungan awam syarikat terbabit yang dihubungi Malaysiakini memberitahu pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Jurucakap yang enggan dikenali itu memberitahu mereka akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas mendapat semua butiran yang diperlukan.