Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

3 cedera dalam rusuhan di Sweden susulan pembakaran al-Quran

GLOBAL | Tiga orang di bandar Norrkoping, Sweden cedera selepas terkena peluru polis dalam pertempuran antara pihak berkuasa itu dengan penunjuk perasaan susulan pembakaran al-Quran ketika sambutan Hari Easter.

Kumpulan yang membuat tunjuk perasaan balas juga dilaporkan turut menyerang polis di beberapa tempat rusuhan yang dicetuskan oleh pembakaran al-Quran oleh kumpulan anti-pendatang.

Perdana Menteri Magdalena Andersson mengutuk keganasan itu.

"Tiga orang nampaknya terkena tembakan dan kini dirawat di hospital. Ketiga-tiga yang cedera ditahan kerana disyaki melakukan jenayah," kata polis tempatan dalam satu kenyataan, sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bagaimanapun, polis berkata keadaan di Norrköping tenang pada petang Ahad.

Polis dan penunjuk perasaan dilaporkan terlibat dalam pertempuran sejak beberapa hari lalu di beberapa bandar Sweden, dicetuskan oleh pembakaran al-Quran oleh kumpulan anti-pendatang.

Sekurang-kurangnya 16 pegawai polis dilaporkan cedera dan beberapa kenderaan polis musnah dalam kekacauan yang tercetus pada Khamis.

Keganasan bermula pada Khamis selepas pelampau Denmark-Sweden Rasmus Paludan, yang mengetuai pergerakan Stram Kurs atau Hard Line berkata, dia telah membakar al-Quran dan akan mengulangi tindakan itu.

Paludan mengancam untuk menganjurkan kekacauan di Norrkoping pada hari Ahad, mendorong penunjuk perasaan yang menentang tindakan membakar al-Quran berkumpul di sana.

-Reuters