Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keganasan di Baitulmaqdis beri tekanan buat k'jaan gabungan Israel

GLOBAL | Pertempuran di Baitulmaqdis yang mencetuskan ketegangan ketika umat Islam berpuasa di bulan Ramadan berlarutan sehingga Ahad, menyaksikan 18 tangkapan dan menambah tekanan kepada kerajaan gabungan Israel.

Polis rusuhan Israel berdepan penduduk Palestin yang melontar bunga api di lorong-lorong Kota Lama selepas lawatan orang Yahudi ke kawasan suci yang menjadi pertikaian itu.

Beberapa penumpang dalam dua bas cedera ringan apabila penduduk Palestin melontar batu dan memecahkan cermin kenderaan. Manakala sekumpulan kecil orang Yahudi diserang.

Konfrontasi yang berlaku pada Ahad itu kurang ganas berbanding pertempuran di pekarangan masjid Al-Aqsa dua hari sebelumnya, namun sudah cukup bagi sebuah parti Arab mengkaji semula keanggotannya dalam gabungan pemerintah Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, yang tidak lagi mempunyai majoriti dalam parlimen.

United Arab List - parti pertama Arab yang menyertai kerajaan Israel dan dibentuk mewakili 21 peratus minoriti Arab di negara itu - berkata ia menggantung keanggotaan dalam kerajaan berikutan cara Israel menangani keganasan di Al-Aqsa dan akan mempertimbangkan untuk mengundurkan diri secara rasmi jika keadaan tidak berubah.

Gabungan Bennett menguasai 60 daripada 120 kerusi parlimen, termasuk empat daripada United Arab List.

Beberapa pengulas politik berkata pengumuman itu adalah isyarat simbolik untuk mengurangkan tekanan terhadap pemimpin parti semasa krisis dan ia boleh diselesaikan pada masa parlimen bersidang semula bulan depan.

Kota Lama terletak di Baitulmaqdis Timur, yang ditawan Israel dalam perang pada tahun 1967 dan yang dikehendaki rakyat Palestin untuk dijadikan ibu kota negara pada masa depan.

Ketegangan terhadap Baitulmaqdis mencetuskan pertempuran selama 11 hari pada Mei lalu antara Israel dan pejuang Islam Hamas di Semenanjung Gaza.

Bennett memperoleh majoriti tipis di parlimen bulan ini selepas seorang ahli parlimen dari parti nasionalisnya meletak jawatan.

- Reuters