Tun Faisal dakwa ada usaha agar dia dibuang dari Umno
Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa terdapat usaha untuk memecatnya daripada Umno, ketika keputusan rayuannya berhubung penggantungan selama enam tahun daripada parti masih menjadi tanda tanya.
Bercakap kepada Malaysiakini, Tun Faisal berkata dia dimaklumkan oleh ahli yang hadir mesyuarat Umno Putrajaya semalam bahawa kononnya ada keputusan dibuat untuk membatalkan penggantungannya, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak.
“Tapi rayuan diterima ini, Ku Nan yang cakap dalam mesyuarat bahagian,” katanya merujuk Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Kami semua tak tahu apa-apa pun. Saya pun belum dapat apa-apa surat pun. Saya pun tak tahu apa keputusan rayuan,” katanya yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
Tun Faisal berkata dia pada mulanya bertanya mengenai khabar angin pemecatannya, yang pertama kali dilaporkan portal dalam talian Suara Merdeka semalam.
Ku Nan tak puas hati
Tun Faisal kemudian mendakwa Ku Nan secara peribadi tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin Umno dan telah mengarahkan bahagian Putrajaya untuk menulis surat mencadangkan pemecatannya.
“Saya tak terkejut sebab sudah sangat mengenali sikap Ku Nan. Lagipun dulu dia juga yang aturkan agar aduan dibuat ke atas saya.
“Sepatutnya di bulan Ramadan ni, hilangkanlah dendam kesumat dan cari jalan perdamaian,” tambahnya.
Pada 27 Mac tahun lalu, Majlis Tertinggi Umno menggantung Tun Faisal kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Utusan Malaysia ketika itu mendakwa Tengku Adnan telah mengatur laporan disiplin terhadap Faisal - yang merupakan timbalannya - dipercayai kerana mengkritik presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.
Malaysiakini telah menghubungi Ku Nan berhubung perkara ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai