Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

TMJ tawar peguam jadi pemerhati perbicaraan kes Bella

Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan khidmat peguam secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati bagi pihak Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat untuk perbicaraan kes penderaan membabitkan remaja Sindrown Down yang dikenali sebagai Bella.

Tunku Ismail berkata akan menghubungi menterinya, Rina Harun untuk tujuan itu.

"Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella. Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini.

"Saya akan menghubungi Rina dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali kini sedang dibicarakan di atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Kes itu mendapat perhatian dan perdebatan di media sosial, antaranya berkenaan Siti Bainun yang diwakili seramai 10 peguam dalam kes itu.

Terdahulu, isteri Tunku Ismail, Che Puan Khaleeda menzahirkan rasa simpati terhadap nasib Bella dan berikrar akan membantu Bella mendapatkan keadilan sewajarnya.

"Saya akan lakukan apa saja dengan kuasa yang saya ada bagi mendapatkan keadilan untuk Bella.

"Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa saja terhadap kanak-kanak teraniaya.

"Kamu boleh bersembunyi di sebalik tentera peguam tetapi karma akan hadir pada waktunya di dunia ini dan akhirat," katanya menerusi hantaran di Instagram.