Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tindakan imigresen tahan ketua jurutera China 8 jam dipertikai pemain industri

Pemain industri perkapalan menganggap tindakan Jabatan Imigresen menahan seorang ketua jurutera dari China selama lebih lapan jam sebagai tidak profesional.

"Pelaut (seafarer) adalah profesional dan berpelajaran. Bukan pendatang asing tanpa izin. Jadi, tolong hormati ketika berurusan dengan mereka.

"Kita perlukan satu SOP yang jelas daripada Jabatan Imigresen pada masa akan datang supaya perkara sebegini tidak berulang lagi," kata Jeyenderan Ramasamy, ketua pegawai eksekutif syarikat Maritime Network.

Menjelaskan insiden semalam, Jeyenderan berkata ketua jurutera itu melakukan proses sign off daripada kapal sebelum masuk ke Malaysia di Pelabuhan Port Klang.

Namun katanya, lelaki itu ditahan di pejabat imigresen Port Klang daripada pukul 4 petang sehingga pukul 12.30 malam.

"Jabatan Imigresen enggan keluarkan pas khas walaupun anak kapal itu memiliki semua dokumen yang diperlukan. Ketua jurutera itu juga mempunyai surat pelepasan

daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Port Klang (LPK) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM), tapi tetap ditahan oleh pihak imigresen.

"Pada awalnya pegawai imigresen berkata hanya akan memberi pas khas 3 hari sahaja. Tapi, selepas mengadakan perbincangan hampir lapan jam, akhirnya dia diberi pas khas selama sebulan," katanya.

Menurutnya, pada 31 Mac, Kedutaan China mengeluarkan surat pekeliling di mana setiap warga China yang masuk ke Malaysia dibenarkan tinggal di negara ini sekurangnya-kurangnya 21 hari sebelum pulang negara asal.

Ketika dihubungi kemudian, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata perkara itu telah selesai.

"Dia telah diberi pas khas selepas perkara itu dibawa kepada saya.

"Saya harap pada masa akan datang, semua jabatan terlibat perlu bekerjasama untuk mengelakkan kekeliruan," katanya.