Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes basikal lajak: Pertimbang kegagalan masyarakat, kata Siti Kasim

Peguam Siti Kasim berkata dia percaya tanggungjawab terletak pada ibu bapa dalam tragedi kemalangan remaja berbasikal lajak di Johor tetapi tidak bersetuju dengan gesaan untuk mendakwa ibu bapa kerana cuai.

Siti menyatakan ia akan menjadi sukar di sisi undang-undang dan terdapat juga pertimbangan lain seperti kegagalan masyarakat.

Dia berkata demikian merujuk kepada kematian lapan remaja pada 2017 selepas sebuah kereta melanggar mereka ketika mereka menunggang di lebuh raya pada pukul 3 pagi tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Insiden itu baru-baru ini mendapat perhatian semula selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru membatalkan pembebasan pemandu Sam Ke Ting dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000. Dia kini dalam peroses merayu sabitan itu.

“Saya telah memikirkan lebih mendalam tentang perkara ini dan sebagai ibu bapa, saya tahu bukan mudah untuk menjadi ibu atau bapa.

“Saya masih percaya anak-anak tidak boleh dipersalahkan tetapi saya juga berpendapat sekarang mudah untuk mencari kesalahan ibu bapa sedangkan kehidupan tidak semudah itu,” kata Siti dalam satu kenyataan di Facebook.

Siti menyatakan cadangan bahawa ibu bapa boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun, atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Seksyen itu menyatakan adalah satu kesalahan bagi mana-mana orang untuk mendera, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan kanak-kanak dalam jagaan mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Siti berkata pihak pendakwaan perlu membuktikan tiga elemen iaitu sama ada ibu bapa meninggalkan anak mereka, mengabaikan mereka dan mendedahkan mereka kepada bahaya.

“Pada pendapat saya, adalah sukar bagi pihak pendakwaan untuk memastikan bahawa kanak-kanak itu ditinggalkan, diabaikan malah mendedahkan mereka kepada bahaya.

"Ibu bapa mungkin menyangka anak-anak sudah selamat di atas katil dan sudah lumrah menjadi remaja, mereka melakukan apa yang mereka mahu walaupun di belakang ibu bapa atau tanpa pengetahuan mereka.

"Kita pernah mendengar tentang kanak-kanak terlibat dalam gengsterisme, mengambil dadah, merayap keluar pada waktu pagi untuk menyertai rakan mereka dsb.

"Adakah kita masih menyalahkan ibu bapa apabila apa yang dilakukan oleh anak-anak di luar pengetahuan dan kawalan mereka," katanya.

Siti berkata tidak semua ibu bapa boleh mengawal anak-anak mereka dengan betul, terutama bagi keluarga yang kekurangan sumber.

“Memang anak-anak itu tidak sepatutnya berada di tempat mereka ketika itu (jalan raya pada pukul 3 pagi) tetapi adakah ini kegagalan ibu bapa mereka?

"Sukar menjadi ibu bapa dan jika anda bernasib baik, anda akan mendapat anak yang taat. Tetapi tidak semua ibu bapa bernasib baik kerana mempunyai wang atau sumber untuk memastikan anak-anak mereka mempunyai aktiviti," katanya.

Sebaliknya, Siti berkata terdapat keperluan untuk melihat isu struktur yang membawa kepada tragedi itu.

“Saya percaya ia adalah gabungan kegagalan masyarakat, sistem dan tadbir urus dalam memberikan pendidikan yang betul, kerana tidak memberikan rangsangan yang mencukupi, tempat untuk anak-anak ini melepaskan tenaga mereka kepada sesuatu yang lebih berguna.

"Mengapa kerajaan kita tidak membina taman di mana kanak-kanak ini boleh pergi dan bermain mengikut kehendak hati mereka. Sama seperti di beberapa negara, mereka mempunyai taman papan selaju untuk mereka bermain," katanya.

Pada 18 Feb 2017, lapan pemuda berbasikal maut, dua lagi parah dan enam lagi cedera ringan apabila kereta yang dipandu Sam merempuh mereka dalam kejadian 3 pagi itu.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Mahkamah majistret pada 2019 membebaskan Sam selepas mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefonnya, dan memakai tali pinggang keledar semasa memandu, menunjukkan bahawa dia memandu dengan bertanggungjawab dan berhati-hati.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar pada 13 April memutuskan bahawa mahkamah majistret telah terkhilaf apabila tidak memutuskan terhadap pembelaan lelaki berusia 27 tahun itu bahawa dia tidak melihat remaja itu dan kenderaan lain telah melanggar dan lari kumpulan itu.

Permohonan Sam untuk kebenaran merayu keputusan itu akan didengar Isnin depan.