Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tragedi basikal lajak: Wee mengeluh jadi sasaran 'lepas geram'

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong merungut kerana menjadi 'sasaran melepaskan geram' atas rasa tidak puas hati terhadap sabitan seorang wanita yang melanggar sekumpulan remaja berbasikal lajak di lebuh raya pada awal pagi, menyebabkan kematian lapan orang.

Wee menjawab laporan akhbar Cina yang mengetengahkan kritikan yang dilemparkan terhadapnya di laman Facebooknya.

Wee, yang merupakan presiden MCA dan Ahli Parlimen Ayer Hitam menekankan konsep pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman.

“Sebagai sebuah negara yang mematuhi kedaulatan undang-undang, sebarang penghakiman undang-undang dan eksekutif mesti dihormati dan tidak boleh diganggu.

“Ramai yang tidak bersetuju dengan penghakiman mahkamah tinggi dan mereka berhak untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka, namun kita tidak wajar mengutuk orang lain atau menyalahkan pihak yang tidak sepatutnya.

"Sebarang ketidakpuasan hati terhadap penghakiman mesti melalui proses kehakiman untuk membuat rayuan."

“Mengutuk atau menyalahkan menteri atau Kementerian Pengangkutan tidak akan mengubah perkara ini," katanya pada hantaran di Facebook.

Antara kritikan terhadapnya, kata Wee, adalah aduan bahawa ibu bapa kanak-kanak berkenaan tidak didakwa kerana kecuaian.

Bagaimanapun, Wee bertegas urusan penguatkuasaan merupakan kuasa polis.

Katanya, selaku ahli parlimen yang menggubal undang-undang, dia telah mendesak hukuman yang lebih berat kerana memandu di bawah pengaruh dan juga kesalahan basikal di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pindaan itu diluluskan pada 2020.

Wee mengambil maklum permohonan Sam untuk kebenaran merayu sabitannya di Mahkamah Rayuan akan didengar pada Isnin depan dan dia berharap yang terbaik kepadanya.

Dia juga menggesa orang ramai untuk bertindak secara rasional.

Mahkamah Tinggi di Johor Bahru pada 13 April membatalkan keputusan mahkamah majistret membebaskan Sam dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, pada 2017.

Lapan remaja maut

Pada 18 Feb 2017, lapan pemuda berbasikal maut, dua lagi parah dan enam lagi cedera ringan apabila kereta yang dipandu Sam merempuh mereka dalam kejadian sekitar jam 3.20 pagi itu.

Mereka yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam tanpa memanggilnya ke mahkamah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor, antaranya jalan yang gelap, berbukit dan berliku manakala pemandu - yang bukan penduduk setempat di kawasan itu - tidak dapat menjangka akan ada sekumpulan penunggang basikal di jalan berkenaan pada jam 3 pagi.

Majistret itu menyatakan kumpulan basikal lajak itu telah meletakkan diri mereka dalam keadaan bahaya.

Siti Hajar berkata siasatan mendapati Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbitnya dan memakai tali pinggang keledar semasa memandu, membuktikan tertuduh memandu dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati.

Siti Hajar membebaskan Sam sekali lagi pada 2021 apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan plaintif membela diri. Majistret berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar memutuskan bahawa “mahkamah bicara terkhilaf apabila menerima pembelaan yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu keretanya secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa yang dinyatakan dalam pertuduhan."

"Responden seharusnya memandu keretanya dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu dengan laju sehingga menyebabkan kemalangan tersebut.

“Responden sepatutnya menyedari kemalangan pencahayaannya tidak begitu terang pada jam lebih kurang 3.20 pagi," kata hakim itu.

Sam juga telah memberikan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh untuk pembelaannya, yang membawa berat kurang berbanding dengan akuan bersumpah.

[Baca berita asal]