Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lepas aktivis MCA terjun longkang, Adun DAP ajak 'gotong-royong'

Seorang aktivis MCA terjun ke dalam saluran longkang yang kotor untuk mengetengahkan isu pencemaran di Sungai Pinang, Pulau Pinang semalam.

Dengan menggunakan jaring dan memakai jaket keselamatan, Cheah Chin Woon dan sepasukan aktivis MCA meluangkan masa selama 30 minit untuk membersihkan longkang berkenaan.

Hanya Cheah seorang sahaja berendam di dalam air yang hitam itu, manakala aktivis lain mengaut sampah dari tebing.

"Saya ingin meningkatkan kesedaran kepada orang ramai untuk memastikan semua orang membantu menjaga kebersihan sungai kita.

“Ia bukan pertunjukkan tetapi dengan terjun sungai untuk meningkatkan kesedaran, saya berharap dapat mendidik dan mempengaruhi rakyat supaya tidak membuang sampah sembarangan,” kata Cheah menurut The Star.

Cheah memberitahu akhbar itu bahawa dia pernah mengadu kepada pihak berkuasa mengenai keadaan longkang berkenaan yang menghala ke Sungai Pinang sebelum ini tetapi pekerja pembersihan kebetulan hanya mengambil tindakan semalam.

“Berdasarkan pemerhatian selama 24 hari, dengan bukti bergambar, kita dapat lihat masalah itu tidak selesai sehingga saat akhir.

“Ahli politik sentiasa menyalahkan rakyat kerana membuang sampah.

“Tetapi sebenarnya, pada mulanya tidak banyak sampah, cuma ia tidak dibersihkan dengan kerap dan ini menyebabkan sampah terkumpul.

“Baru pagi tadi ada 12 tukang cuci bekerja di sepanjang jalan itu menunjukkan mereka ‘berkerja keras sebelum pemeriksaan dibuat’,” katanya.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ketika dihubungi, mengucapkan terima kasih kepada MCA kerana membangkitkan isu itu tetapi menegaskan bahawa kerajaan negeri sedia maklum mengenainya.

"Saya faham mereka mahu memberi tekanan kepada kerajaan... tetapi tidak perlu melakukannya hanya apabila pilihan raya semakin hampir. Dia mungkin akan mencederakan dirinya sendiri.

"Tak perlu terjun longkang. Jom sertai gotong-royong kami. Itu akan membantu," katanya.

Lim menjelaskan bahawa Sungai Pinang sepanjang 3.6km merentasi enam anak sungai. Oleh itu, dia berkata sampah-sarap itu terkumpul di kawasan yang diwakilinya, iaitu di hilir sungai.

Katanya, pencemaran Sungai Pinang adalah masalah yang berpunca daripada manusia disebabkan orang ramai yang mencemarkan sungai.

"Jika orang ramai tidak membuang sampah ke dalam sungai, maka kita tidak perlu mengeluarkan wang untuk membersihkannya dan menggunakannya untuk tujuan lain," katanya.

Lim menyangkal dakwaan Cheah bahawa kerajaan negeri tidak cukup kerap membersihkan longkang dan sungai.

"Jika anda melihat kerja kami di perangkap sampah, kami mengumpul satu tan sampah sehari secara purata. Jika kami tidak membersihkannya, ia mungkin rosak.

“Jadi tak boleh kata kerajaan tak cukup buat. Saya tak nafikan kita nampak lebih banyak sampah (dalam sungai) tapi salah siapa?

"Ini adalah masalah buatan manusia. Apa yang kita perlukan ialah penguatkuasaan yang lebih baik," katanya.