'Bella disuruh makan nasi dicurah cuka, ayam goreng busuk, cili padi'
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam diberitahu remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella, telah diberi makan seperiuk nasi dicurah dengan cuka, kunyit, garam, kicap, cili dan kepingan cili serta ayam goreng busuk ketika bulan puasa oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Yasmin Nahar Mahmood, 18, penghuni Rumah Bonda, berkata Bella disuruh oleh Siti Bainun untuk menghabiskan nasi tersebut walaupun remaja itu kenyang kerana Bella telah curi-curi makan dan minum semasa ketiadaan Siti Bainun di rumah kebajikan itu.
"Ketika itu bulan puasa, Bella tidak makan nasi sebab dia terlampau kenyang kerana curi-curi minum air dan makan kerana di bilik dobi banyak barangan kering. Bella juga tidak dibenarkan makan dan minum sesuka hati, jadi Bella cari jalan untuk curi makan dan minum tanpa pengetahuan saya, Siti Bainun dan penghuni Rumah Bonda sebab dia takut.
"Apabila Siti Bainun balik malam itu dan dia dapat tahu yang Bella telah curi makan dan minum, Siti Bainun suruh dia (Bella) habiskan satu periuk nasi yang dicurah dengan cuka, kunyit, garam, kicap, cili dan kepingan cili," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Jalil yang mewakili Siti Bainun pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berumur 13 tahun itu.
Saksi pendakwaan kelima itu berkata Bella juga pernah menggoreng ayam yang telah busuk dan turut mengarahkannya (Yasmin) berbuat demikian sebelum menyuruh Bella menghabiskan lima ketul paha ayam.
Yasmin berkata Siti Bainun turut memberi Bella makan 20 biji cili padi dan meminta saksi itu atau seorang lagi penghuni Rumah Bonda, dikenali sebagai Aida untuk mengira 20 biji cili tersebut.
Disoal seorang lagi peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf berapa kali kejadian itu berlaku dan adakah Siti Bainun meminta secara spesifik 20 biji cili padi itu, saksi itu menjawab: “Banyak kali juga dan memang Siti Bainun mahukan 20 biji cili itu".
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kejadian itu berlaku beberapa kali seminggu.
Farhan: Boleh kata empat kali seminggu?
Yasmin: Okey.
Farhan: Jadi kalau seminggu sudah 80 biji cili Bella makan, tak kan mulut Bella tak melelas, melecet atau merah? Yasmin menjawab: Mulut dia merah.
Farhan: Pada prosiding semalam, kamu kata Bella didera setiap hari selama empat bulan, jadi kalau kita kira lebih kurang 1,280 biji cili disumbat kepada Bella (dalam tempoh empat bulan) tak kan mulut Bella tak melelas atau melecet.
Yasmin: Dia (Bella) makan, lepas itu buang balik.
Disoal Farhan sama ada dia mengetahui tahap kepedasan cili itu, Yasmin berkata dia mengetahui kepedasan cili namun tidak pernah makan cili yang dimakan Bella selain bersetuju dengan cadangan peguam itu sekiranya terlebih makan pedas ia menyebabkan perut memulas dan membuang air besar.
Menurut Yasmin, Siti Bainun juga pernah menyepak dan menendang perut remaja itu kerana tidak mendengar arahannya.
"Bila Bella tak dengar cakap dan tidak habiskan cili, Siti Bainun akan ugut hendak simbah air panas pada Bella. Siti Bainun akan arahkan saya dan Aida untuk pegang Bella dan paksanya melutut. Masa itu, Siti Bainun sepak dan tendang perut Bella," katanya yang turut memaklumkan Siti Bainun tidak membenarkan Bella minum air termasuk minuman manis.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai