Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Amanah: Pembangkang perlu bersatu, matlamat utama PRU15 sekat BN

Amanah menegaskan matlamat utama dalam PRU ke-15 adalah untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa dan ia memerlukan kesepaduan semua parti pembangkang.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, parti itu sedia menjadi peneraju bagi mencapai perkara itu.

"Amanah bersedia memainkan usaha utama bagi mengembalikan kesatuan dan kebersamaan parti-parti pembangkang untuk menyertai pilihan raya ini secara bersama bagi menentang BN.

"Amanah beranggapan usaha untuk menafikan BN kembali berkuasa adalah matlamat terpenting dalam PRU ke-15 kerana implikasi kemenangan BN adalah terlalu buruk terhadap negara dan rakyat.

"Amanah menyeru semua parti pembangkang untuk mengambil pengajaran daripada PRN Melaka, Sarawak dan Johor," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, petang tadi.

Pandangan itu berbeza dengan apa yang dinyatakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bahawa PH perlu sedia untuk tewas dalam dua lagi PRU sebelum kembali menguasai Putrajaya.

Dalam temu bual bersama Sinar Harian, Nurul Izzah berkata ia mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat, masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Ia selari dengan pandangan sekutunya dalam PKR, Rafizi Ramli yang lebih menekankan keutuhan PH serta usaha untuk membezakan gabungan itu dengan gabungan politik lain, berbanding strategi "khemah besar".

Bagaimanapun Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika ditanya berkenaan kenyataan Nurul izzah, menjawab ia hanyalah pandangan peribadinya.

"Sebarang pandangan adalah bebas, dalam PH kita bebas mengeluarkan pandangan," katanya.

Katanya lagi, Amanah boleh berjumpa dengan sesiapa saja bagi membincangkan kerjasama PRU ke-15 termasuk Bersatu.

Namun, katanya, Bersatu masih sebahagian daripada kerajaan berbanding parti serpihannya, Pejuang yang dilihat "senada" dengan PH di dalam Parlimen.

"Kita boleh bertemu dengan sesiapa saja, namun sebarang ketetapan diputuskan secara bersama dalam parti," katanya lagi.