Polis sahkan siasat Fahmi kerana kartun ‘monyet berbaju kuning istana’
Polis mengesahkan menyiasat Fahmi Reza susulan penyiaran “karikatur kartun monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning” di media sosial pereka grafik kontroversi itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan juga mengesahkan Fahmi disiasat bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Hantaran tersebut telah mendapat 12,000 respons, 3,400 komen dan 966 perkongsian sejak dimuat naik dan telah mengundang kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan,” kata Abd Jalil.
Terdahulu Fahmi mendedahkan dia menerima panggilan daripada Bukit Aman, tidak sampai 15 jam selepas karya itu dimuat naik.
Setakat berita ini ditulis, belum jelas sama proses merakamkan kenyataannya telah selesai atau sama ada dia ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam kenyataan petang ini, Abd Jalil berkata siasatan masih diteruskan dan polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh institusi diraja serta sensitiviti agama dan kaum,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai