ULASAN | Bila politik hilang pengaruh
Sebagai pejuang yang mahu bersikap benar, tidak ada pilihan kecuali terus menyatakan kebenaran. Pilihan raya umum ke-14 mencatatkan jumlah keluar mengundi yang tinggi iaitu sebanyak 82.32 peratus. Namun, dalam tempoh tiga tahun selepas PRU14 pada 2018, semua peratusan keluar mengundi untuk pilihan raya negeri mencatat penurunan yang amat ketara.
PRN Sabah hanya mencatat 66.1 peratus, PRN Sarawak 60.67 peratus, PRN Melaka 65.85 peratus, Johor hanya 54.92 peratus. Prestasi Johor menjadi kejutan dan menyembam wajah ego semua parti politik pembangkang termasuk PN.
Pelbagai faktor telah dibincangkan tentang trend ini. Namun kita juga harus menerima hakikat bahawa ini juga adalah mesej jelas bahawa rakyat semakin tidak berminat untuk menyertai proses demokrasi ini. Rakyat sudah hilang kepercayaan dengan sistem demokrasi kerana melihat ‘akibat’ yang mereka tanggung selepas pilihan raya yang mana kerajaan yang dipilih masih tidak stabil.
PH boleh menyalahkan siapa pun, baik kartel, Muhyiddin Yassin hatta Mahathir Mohamad sekalipun, sebab kerja menyalahkan orang lain itu kerja mudah yang diwarisi dari zaman pembangkang. PN juga boleh menuding jari menyalahkan PH atau Kluster Mahkamah kerana tumbangnya Muhyiddin. Namun, semua itu tak akan mengubah persepsi rakyat bahawa kita (bukan BN) sendiri adalah masalahnya dan keyakinan rakyat ke atas politik telah terhakis.
Hal ini sudah saya angkat dalam tulisan saya terdahulu, masalah sejak berlakunya ‘Langkah Sheraton’ ialah kita. Namun pandangan saya ini mungkin tak relevan ketika itu.
Sekarang, masalah negara bukan lagi hanya berlingkar isu pandemik, ekonomi, pendidikan, kebajikan, keadilan, korupsi atau lompat parti, tetapi masalah negara kini bertambah dengan masalah hilangnya keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi itu sendiri. Dengan ungkapan lain “Rakyat bukan lagi tak percaya kepada parti politik tapi rakyat dah tak percaya politik itu sendiri termasuk pilihan raya”.
Justeru, kita sedang memasuki zon krisis. Krisis keyakinan ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan menerusi manifesto, tak boleh. Krisis ini akan melarat dan memberi kesan jangka panjang kepada ketidakstabilan kepada semua perkara dalam hidup kita.
Dalam krisis ini, BN tidak perlu berbuat apa-apa dalam krisis ini. Mereka hanya menunggu pulangan ‘dividen’ yang akan masuk ke dalam peti undi mereka. BN akan jadi kerajaan tanpa perlu bergaduh dengan sesiapa.
Kestabilan dalam kerajaan
Rakan-rakan pengundi Cina tidak akan mudah lagi memberi undi kepada DAP atau PKR atau PH kerana mereka tidak nampak PH akan membawa kestabilan dalam kerajaan (pengalaman kerajaan PH).
Mereka sanggup beri undi kepada MCA atau MIC, bukan kerana MCA atau MIC bagus atau mereka suka, tetapi kerana mereka mahu ada wakil dari bukan Melayu berada dalam sebuah kerajaan yang lebih stabil. Dari satu sisi, biarlah MCA MIC jadi lembu yang dicucuk hidungnya oleh Umno, asal kerajaan tak berpecah. Rupa-rupanya, jadi seperti lembu dicucuk hidung itu baik dalam konteks ini.
Kita orang politik boleh mengatakan hujah dan persepsi ini bodoh atau salah, tetapi adakah kita mahu menyalahkan ribuan pengundi yang memiliki pandangan yang seperti ini? Ini bukan hujah politik tahap elit yang sukar difahami, ini hujah politik bawahan yang sedang berjalan di seluruh Malaysia yang semua boleh faham, kecuali pemimpin politik.
Apabila Nurul Izzah menyatakan bahawa PH perlu bersedia untuk kalah lagi. Kenyataan ini tak mengejutkan pun malah bukan saja PH malah PN dan lain-lain juga akan kalah. Kerana apabila politik itu sendiri sudah hilang pengaruhnya, maka demokrasi semestinya pincang. Apabila demokrasi sudah pincang, buatlah bila pun pilihan raya, tahun ini atau tahun depan, hasilnya tetap sama kerana persepsi rakyat yang telah hilang keyakinan ini sukar untuk diperbaiki.
Krisis ini juga tidak akan mampu diperbaiki hanya dengan kekuatan dan magis seorang pemimpin muda yang mendakwa mempunyai formula untuk menang. Ini kerana pemimpin yang ada pada hari ini tidak mampu duduk semeja bertentang mata antara satu sama lain secara terbuka untuk kembali kepada prinsip moral politik yang tinggi tanpa apa-apa syarat kepada siapa pun.
Jika ini tidak berlaku dalam waktunya, maka kita semua sudah boleh lupakan PRU15 kerana naratifnya sudah tersedia iaitu bila politik sudah hilang pengaruhnya maka BN akan kembali menjadi kerajaan, kleptokrat akan bebas dan aristokrat akan terus membuli kita semua. Bagi parti yang merasakan diri mereka kuat, anda berbanggalah dengan pemimpin dan parti masing-masing yang kalah.
MAHDZIR IBRAHIM - ahli Pejuang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai