Tiket mahal: Syarikat penerbangan hisap darah - Bung Moktar
Perbuatan syarikat penerbangan negara ini menaikkan harga tiket terutama ke Sabah dan Sarawak, ketika musim perayaan antaranya Aidilfitri yang bakal tiba tidak ubah seperti ‘menghisap darah’ rakyat, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau berkata dalam beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut perayaan Aidilfitri, justeru ramai rakyat Sabah di Semenanjung mahu balik ke Sabah, namun amat menyedihkan apabila mereka terpaksa membatalkan hasrat itu, akibat tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan yang mahal.
“Bayangkan tiket ekonomi sahaja untuk satu hala ada yang mencecah RM2,800, dan ada juga harga sehingga RM3,600...perkara sebegini tidak seharusnya berlaku syarikat penerbangan jangan sesekali mengisap darah penumpang.
“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan fenomena sebegini, cukup-cukuplah hisap darah rakyat...Kementerian Pengangkutan diminta campur tangan dan tangani isu ini dengan segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu katanya ada syarikat penerbangan meletakan syarat semua penumpang wajib mendaftar masuk melalui mesin disediakan, dan bayaran RM100 dikenakan sekiranya penumpang mendaftar masuk melalui kaunter, yang mana ini tidak adil buat rakyat yang kurang faham dengan teknologi terkini.
“Syarikat penerbangan kena faham, di Sabah masih ramai yang tidak memiliki telefon pintar dan pakcik makcik dari kampung masih tidak faham mendaftar masuk melalui mesin yang disediakan,” katanya.
Bernama sebelum ini melaporkan syarikat penerbangan komersial tempatan yang menyediakan laluan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching, menawarkan tiket antara RM300 dan ke atas untuk penerbangan pergi balik semasa bukan hari perayaan.
Bagaimanapun, semakan laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini, menyaksikan tiket penerbangan melonjak sehingga RM2,000 (penerbangan pergi balik) iaitu peningkatan kira-kira 566 peratus, menjelang tempoh perayaan Aidilfitri dari 29 April hingga 8 Mei.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan Sabah mendesak kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan, untuk mencari jalan bagi mengurangkan harga tiket penerbangan tersebut.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai