Saddiq mohon maaf terlepas pandang perkongsian Yasin tentang penyakitnya
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan keluarga Yasin Sulaiman dan memohon maaf kerana terlepas pandang perkongsian penyanyi dan komposer itu berkenaan penyakitnya dan ganja perubatan sebelum ini.
Berkongsi gambar pertemuan itu di media sosialnya, bekas menteri belia dan sukan itu sekali lagi membangkitkan undang-undang ganja perubatan di Malaysia yang disifatkannya sebagai telah "lapuk".
“Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang post saudara pada Oktober lepas.
“Ia merupakan rintihan meminta pertolongan yang bukan saja disuarakan oleh Yasin tapi oleh mereka yang sedang menderita dan memerlukan perubatan kanabis,” katanya dalam Instagram hari ini.
Syed Saddiq turut berkongsi gambar yang menunjukkan hantaran Yasin di Facebook bertarikh 14 Oktober lalu, yang antara lain menyatakan kanabis ada banyak manfaat perubatan terutama untuk orang yang berhadapan isu kesihatan mental sepertinya.
Kata Yasin, sejak 20 tahun lalu dia cuba mendapat perubatan yang betul untuk masalah bipolar yang dihadapinya.
"Saya jumpa ramai doktor, ke hospital, mencuba amalan spiritual, cuba banyak supplement dan ubatan dengan pelbagai kesan sampingan...Sekarang saya tahu apakah penawar masalah saya dan amat memalukan jika masyarakat mengalang saya untuk mendapatkannya hanya kerana kurangnya pengetahuan.
"Tahniah Syed Saddiq. Anda telah banyak membantu saya dan ramai lagi orang yang memerlukan. Semoga Tuhan memberkati dan anda diberi kejayaan," katanya menurut hantaran itu.
Yasin kini berdepan dua pertuduhan menanam ganja di rumahnya dan mengedar ganja dianggarkan seberat 214 gram.
Pada 31 Mac, ketika dibawa Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, dia memesan kepada wartawan supaya menyampaikan salamnya kepada Syed Saddiq dan memintanya agar mengusahakan agar ganja perubatan diluluskan di Parlimen.
Menyentuh mengenai pertemuannya bersama keluarga Yasin, Syed Saddiq berkata ibunya sendiri yang memohon supaya anaknya membantu penyanyi tersebut.
Katanya lagi, dia pernah bertemu dengan ibu bapa yang terpaksa membeli minyak cannabidiol (CBD) dari luar negara untuk anak-anak mereka dan malah ada doktor yang cuba untuk mendapatkannya untuk membantu pesakit mereka.
“Mereka berhak untuk mendapat perubatan yang terbaik untuk kesihatan mereka. Ia berkenaan hidup dan mati.
“Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi Yasin yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul.
“Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk. WHO (Organisasi Kesihatan Sedunia) sendiri dah keluarkan kanabis dari senarai narkotik,” katanya.
Dia turut membangkitkan jumlah orang yang mati disebabkan rokok dan alkohol di Malaysia setiap tahun.
“Tapi bila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu tabu dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah,” katanya.
Pada 6 April lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kajian klinikal terhadap penggunaan ganja dalam perubatan boleh dilakukan.
Khairy berkata, setakat ini belum ada kajian klinikal yang lengkap diterima Kementerian Kesihatan (KKM) dan kajian itu boleh dikoordinasikan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal di bawah Institut Kesihatan Negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai