Kes Bella: Hakim, semua pihak terlibat lawat lokasi kejadian
Hakim dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, hari ini melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju yang merupakan tempat tinggal mangsa.
Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi tiba di lokasi kejadian kira-kira 10.51 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda polis (MPV) dan dikawal rapi oleh polis serta pengawal keselamatan kondominium itu.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Zilfinaz Abbas, Fazeedah Faik dan Nur Aliana Shakira.
Tertuduh, Siti Bainun Ahd Razali dilihat menaiki kenderaan yang dipandu peguamnya Nur A'minahtul Mardiah Md Nor. Seorang lagi peguamnya Asiah Jalil turut serta dalam lawatan itu dan mereka tiba di lokasi kejadian secara berasingan kira-kira 10 pagi.
Lawatan itu berakhir pada 11.50 pagi dan kesemua pihak dilihat meninggalkan kondominium itu sebelum menuju ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi meneruskan prosiding perbicaraan hari ini.
Lawatan itu bertujuan untuk mahkamah melihat dengan lebih jelas gambaran atau pandangan bilik (dobi) supaya lebih memahami insiden yang diceritakan dalam keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 18, yang juga penghuni Rumah Bonda.
Ini berikutan permohonan pihak pembelaan untuk melawat tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar rumah selain saiz bilik dobi di kondominium berkenaan kerana menurut Yasmin, banyak kejadian dilakukan oleh tertuduh di bilik itu.
Namun pihak media yang berkumpul di lokasi itu sejak 9 pagi tidak dibenarkan masuk dan hanya menunggu di pintu masuk utama ke kawasan kondominium itu.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai