Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA MP | Perihal beruk, kera dan katak

Antara kehebatan berbahasa ialah membuat perumpamaan kerana ia dapat menghidupkan sesuatu makna dalam benak manusia dan mudah difahami dan kekal dalam ingatan memori.

Selain perumpamaan berbahasa, kreativiti seni lakaran, gambar atau potret mampu menjelaskan seribu perkataan yang sukar dijelaskan. 

Tular sebuah potret melakarkan suasana dalam dewan Parlimen Malaysia yang ahlinya dilukis terdiri dari spesis primat dan amfibia kecuali speaker Dewan dan dua pegawai bertugas. 

Walaupun secara satiranya ia adalah sebuah kritikan pedas dari perspektif pengkarya seni lukisan, hakikatnya lukisan ini mahu menggambarkan realiti seolah-olah institusi parlimen sudah bertukar menjadi sidang para beruk dan katak. 

Saya menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka walaupun saya tidak bersetuju sikap melabel secara pukal ke atas semua ahli parlimen apatah lagi kemuliaan dewan parlimen digambarkan begitu rupa. 

Setiap ahli parlimen mahupun para pelawat ditetapkan untuk tunduk hormat sebelum duduk di kerusi masing-masing sebagai memuliakan dewan. Saya tidak fikir kita berbuat demikian ketika memasuki zoo atau kandang haiwan! 

Ahli legaslatif adalah nama kepada tugas mulia yang diamanahkan, walaupun masyarakat lebih selesa memanggil kami ahli parlimen atau YB. Syarat untuk layak sebagai ahli legaslatif bagi Dewan Rakyat ialah seseorang perlu memenangi kawasan parlimen atau konstituensi yang ditandinginya dengan majoriti mudah. 

Keberadaan mana-mana ahli parlimen dalam dewan yang mulia adalah mewakili kelebihan undi yang diperoleh secara demokrasi berpilihan raya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Pengundi yang akan 'menghukum' atau 'memberi kredit' kepada wakil-wakil mereka berpandukan prestasi masing-masing. Menghukum semua ahli dewan rakyat sebagai beruk, kera dan monyet agak keterlaluan waima atas piawaian satira. Hormatilah pilihan majoriti para konstituen (pengundi) masing-masing kerana mereka tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera! 

Sebagai seorang MP Muslim, saya turut protes satira politik ini kerana ia melanggar etika dan adab berpandukan nilai-nilai dalam al-Quran dan Sunnah Nabi kita SAW. Surah Hujurat ayat ke-11 jelas melarang mencemuh dan merendah-rendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan). 

Malah mereka yang tidak berhenti berbuat demikian (bertaubat) dia disebut oleh Allah sebagai orang yang zalim. Hadis Riwayat Muslim jelas menunjukkan antara sikap sombong seseorang kerana dua perilakunya iaitu menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia. Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang Muslim. 

Saya mengakui perasaan kekecewaan rakyat tetapi kita harus adil dan bersifat objektif seperti bertanya soalan lebih besar kepada orang politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama sempit, budaya jatuh menjatuhkan sehingga mempermainkan mandat rakyat, fitnah-memfitnah serta tawar-menawar pangkat dan kedudukan untuk lompat parti. Ini lebih bahaya kepada institusi politik negara dan kestabilannya. 

Di sebalik semua ujian ini, kami ahli parlimen rentas blok dan parti berjaya mendapat sokongan 2/3 demi kepentingan rakyat seperti Undi18, perjanjian Malaysia untuk Sabah/Sarawak dan terakhir persetujuan bersama menggubal akta lompat parti. Kami akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang menasihati dengan tegas perlunya kestabilan politik. 

Saya tidak fikir beruk, kera dan monyet mahupun katak sendiri mampu melakukan demikian. Rakyat boleh sahaja menilai melalui sesi persidangan yang dibuat secara langsung, bukan semua MP seperti ditanggap. Media pula suka menonjolkan berita sensasi bertikam lidah tetapi jarang melaporkan ide-ide bernas dan perbahasan yang beradab sebagai bahan berita. 

Saya menghargai hak berkarya sebagaimana saya juga mengharapkan hak untuk mempertahankan diri dihormati apatah lagi apabila salah satu cabang pemerintahan iaitu legaslatif diperlekehkan. 

Ini bukan soal siapa makan cili terasa pedas tetapi satira ini umpama kata orang tua-tua kita  "bagaimana tidak hujan, katak bentung dalam telaga berteriak selalu". 


MUJAHID YUSOF memperkenalkan dirinya sebagai anggota parlimen “manusia” Parit Buntar. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.