Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SPA serah senarai 3,281 doktor kontrak ditolak lantikan tetap kepada KKM

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setuju untuk menyerahkan senarai 3,281 pegawai perubatan kontrak yang ditolak untuk pelantikan tetap kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM kemudian akan melaksanakan tapisan akhir berdasarkan syarat tambahannya, kata SPA dalam kenyataan hari ini.

SPA menjelaskan terdapat empat syarat yang ditetapkan:

Warga Malaysia, berusia 18 tahun ke atas, memiliki ijazah perubatan di institusi pengajian tinggi tempatan yang diiktiraf kerajaan atau yang setaraf, serta berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Lulus dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM/Sijil Vokasional Malaysia atau yang setaraf.

Syarat khusus yang ditetapkan KKM seperti calon yang telah dilantik kontrak, calon yang telah tamat latihan siswazah di dalam atau luar negara, calon adalah lantikan kontrak mulai 2016 hingga 2018, tidak pernah letak jawatan, ditamatkan perkhidmatan atau dikenakan tindakan tatatertib, serta tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap.

Keperluan tambahan yang ditetapkan KKM iaitu hanya calon telah ada kelayakan ijazah dan nombor pendaftaran penuh dengan MPM pada atau sebelum tarikh tutup permohonan layak memohon.

SPA berkata, sejumlah 3,281 calon itu tidak melepasi tapisan kerana tiada maklumat pendaftaran penuh dengan MPM dan bidang pengkhususan perubatan, yang merupakan syarat wajib untuk lantikan tetap.

"Berdasarkan rungutan calon bahawa tiada panduan khusus mengenai perkara ini, suruhanjaya setuju untuk mengemukakan senarai 3,281 calon yang tidak melepasi tapisan kepada KKM untuk proses tapisan akhir berdasarkan syarat yang telah ditetapkan.

"Sekiranya semakan KKM mendapati calon memenuhi semua syarat ditetapkan, status calon akan dikemaskini dan akan dipanggil temu duga," kata SPA.

Mereka yang memohon boleh menyemak kemaskini permohonan bermula 22 April ini.

Terdahulu, Majlis Perubatan Malaysia (MMA) membangkitkan "isu teknikal" sebagai antara sebab permohonan ditolak SPA.