Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Antilompat parti: RUU pindaan perlembagaan dibentang

PARLIMEN | Kerajaan hari ini membentangkan rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan untuk memperkenalkan klausa yang akan membolehkan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani wakil rakyat yang melompat parti.

RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Persoalan di Dewan Rakyat hari ini adalah sama ada cadangan kerajaan untuk menambah fasal 3A dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Fasal 3A - Meskipun dengan perenggan (c) Fasal (2) dan Fasal (3), sekatan terhadap hak berpersatuan dalam perenggan (c) Fasal (1) berkaitan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri juga boleh dikenakan oleh undang-undang persekutuan.”

Wan Junaidi membayangkan perkara itu tidak akan diundi hari ini kerana ada perkara yang memerlukan pertimbangan lanjut oleh jawatankuasa pilihan khas parlimen.

Dalam ucapannya, Wan Junaidi memaklumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan mesyuarat saat akhir dengan kepimpinan PH pagi ini, yang memutuskan tiga perkara.

Pertama, takrifan “lompat” perlu dinyatakan dalam RUU yang dibahaskan hari ini.

Kedua, Perkara 48(6) berkenaan hilangnya kelayakan untuk tempoh lima tahun individu yang letak jawatan sebagai ahli parlimen untuk kembali memegang jawatan itu, perlu dimansuhkan.

Perkara ketiga berkenaan RUU yang khusus untuk menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti.

“Isu ini akan dibangkitkan dan dibincangkan oleh sebuah jawatankuasa pilihan khas parlimen yang akan ditubuhkan Dewan ini,” kata Wan Junaidi.

Seramai 60 ahli parlimen dijadual untuk membahaskan RUU itu hari ini.