Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Petani Ipoh dalam pertikaian dengan PKNP dibebas lepas 3 jam ditahan

Seorang petani yang ditahan dari rumahnya di Ipoh, Perak, malam tadi, kerana didakwa menghalang pegawai awam menjalankan tugas telah dibebaskan selepas kira-kira tiga jam dan protes diketuai aktivis Parti Sosialis Malaysia.

Ketika dihubungi, Timbalan Setiausaha PSM Bawani KS, yang menyelaraskan tindakan solidariti segera untuk Tan Tean Chee, berkata petani dari Kanthan itu dibebaskan sekitar jam 1.30 pagi.

“Tan dibebaskan dengan jaminan polis dari balai polis daerah Ipoh.

"Mereka mahu menahannya tetapi kerana tekanan orang awam dan solidariti oleh PSM, Tan dibebaskan," kata Bawani, yang merupakan seorang peguam, kepada Malaysiakini.

Bawani berkata Tan adalah antara petani yang terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) - anak syarikat kerajaan negeri - untuk mempertahankan hak mereka ke atas tanah yang mereka usahakan sejak turun temurun.

Bawani juga berkata penahanan Tan dipercayai ada kaitan dengan cubaan PKNP pagi semalam memasuki kawasan ladang yang menjadi pertikaian bagi menjalankan ujian tanah, walaupun Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan bahawa tiada kerja boleh dijalankan di tapak sementara menunggu keputusan kes.

“PKNP bukan agensi negeri tetapi mereka datang bersama orang dari Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Ini jelas sekali salah guna kuasa. Ia tiada kaitan dengan PTG. PKNP bukan kerajaan, jadi kenapa PTG mahu terlibat?" soalnya.

Bawani juga berkata Tan adalah antara 132 petani dari Kanthan yang menerima bantuan daripada PSM untuk menentang notis pengusiran mereka, yang dilaporkan dikeluarkan Disember lalu.

Pengerusi kebangsaan PSM Dr Michael Jeyakumar sebelum ini berkata generasi awal petani telah menduduki kawasan yang menjadi pertikaian itu sejak sebelum Perang Dunia II - beberapa dekad sebelum penubuhan PKNP pada 1967 - dan amalan itu diteruskan sehingga hari ini.

Dia juga dilaporkan berkata kira-kira 100 petani pada 1989 cuba memohon Lesen Pendudukan Sementara daripada kerajaan negeri Perak, tetapi didakwa tidak mendapat sebarang maklum balas.