Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

‘Kos haji memang naik tapi tak patut ada bayaran tambahan’

Meskipun kos haji tahun ini dijangka meningkat sehingga melebihi RM25,000, jemaah haji tidak sepatutnya membayar lebih, kata Presiden Persatuan Agensi Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Razali Mohd Sham.

Menurutnya, Lembaga Tabung Haji (TH) diberikan pengecualian cukai oleh kerajaan.

Malah agensi tersebut telah dua tahun tidak membawa jemaah haji berikutan pandemik Covid-19.

“Sepatutnya tak ada (bayaran tambahan)… Adakah Tabung Haji ini dimiliki oleh kerajaan? Bukan. Adakah TH ni GLC (syarikat berkaitan kerajaan)? Bukan. TH ini adalah (milik) pendeposit,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini

Semalam, TH dalam satu kenyataan menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baru yang dikenakan Arab Saudi.

Kos berkenaan merupakan peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019 dengan mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lepas walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun. 

Bagaimanapun, terdahulu BHOnline melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad berkata kerajaan memberi jaminan pemberian subsidi kepada jemaah akan diteruskan.

Idris Ahmad

Idris berkata perbincangan lanjut akan dilakukan bersama TH sebelum kos bayaran yang akan ditanggung jemaah ditentukan.

Mengulas lanjut, Razali berkata kos tanggungan tersebut tidak wajar dipanggil “subsidi” kerana ia merupakan duit pendeposit sendiri. 

“Jadi, yang selama ini dikatakan subsidi itu adalah satu penghinaan. 

“Itu bukan satu subsidi. Satunya, kerajaan dah beri pengecualian cukai. Yang kedua, duit ini adalah duit pencarum bukannya pinjam bank. 

“Jadi ini bermakna TH dah dua tahun mereka tak hantar (jemaah) pergi haji, maka duit cukai tu ke mana?” soalnya lagi. 

Maksimakan subsidi - Barjoyai

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata TH perlu bersiap sedia memaksimakan kos tanggungan untuk bakal jemaah haji. 

“Berapakah yang akan sanggup ditanggung oleh TH? Ini akan bergantung kepada keupayaan kewangan TH. 

“Secara prinsip, TH perlu mengutamakan hal ehwal urusan mengerjakan haji bagi penyimpannya. TH patut bersedia untuk memaksimakan subsidi demi kepentingan para bakal haji. 

“Ini merupakan misi utama TH sejak ia ditubuhkan. Ia juga cuba menangani kumpulan yang memerlukan untuk turut sama mengerjakan ibadat haji dengan serba lengkap dan sempurna,” katanya. 

Barjoyai Bardai

Menyentuh mengenai kos-kos yang mempengaruhi kenaikan kadar haji bagi setiap jemaah tahun ini, Barjoyai berpendapat peningkatan kadar kos sebanyak 12 peratus itu dilihat sangat berpada jika diambil kira pelbagai isu dan faktor luaran. 

“Kenaikan sebanyak 12 peratus saya lihat sangat berpada kerana kos barangan dan perkhidmatan telah naik pada kadar yang sangat tinggi kebelakangan ini disebabkan kesan kegawatan, gejala Covid-19, perang Rusia- Ukraine dan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat kepada banyak negara secara langsung atau tidak langsung,” katanya. 

Pada masa sama, dia turut mencadangkan supaya satu tabung waqaf diwujudkan dalam TH bagi menjemput pendeposit yang masih mempunyai wang simpanan besar, selepas pulang mengerjakan haji terus untuk menyumbang ke dalam tabung tersebut. 

“Tabung ini akan dilaburkan dan dividen tahunannya akan digunakan untuk membantu kumpulan bakal jemaah yang akan mengerjakan ibadat haji, tetapi wang simpanan mereka tidak mencukupi untuk mengambil kira kenaikan kos keseluruhan mengerjakan haji. 

“Ini mungkin memerlukan masa untuk beroperasi secara berkesan... tetapi ia perlu dimulakan segera,” katanya. 

“Mereka sepatutnya dengan sukarela mewaqafkan baki simpanan mereka untuk kegunaan jemaah akan datang sebagai satu sumbangan dan pelaburan abadi mereka,” katanya.