Najib fail permohonan lantik peguam diraja UK bulan depan
Najib Razak akan memfailkan permohonan bulan depan agar Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom (UK) mewakilinya dalam rayuan berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International.
Peguam bela kepada bekas perdana menteri itu, Wan Aizuddin Wan Mohammed hari ini mengesahkan mereka telah memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan semasa sebutan kes rayuan petang tadi.
Peguam itu berkata mereka telah berjanji memaklumkan mahkamah tertinggi itu pada 18 April mengenai tarikh yang sesuai untuk kehadiran QC dalam perbicaraan rayuan Najib. Tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan utama.
“Peguam (untuk Najib) telah mengesahkan bahawa permohonan untuk QC akan difailkan pada hujung Mei di Mahkamah Tinggi.
"Sekiranya permohonan tidak berjaya, peguam akan merayu ke Mahkamah Persekutuan," kata Wan Aizuddin ketika dihubungi.
Peguam itu berkata, mereka memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan SRC telah diserahkan kepada pasukan pembelaan serta pihak pendakwaan pada 31 Mac.
Dia berkata, mahkamah turut memberi tempoh sehingga 11 April ini kepada pasukan pembelaan untuk memfailkan permohonan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan.
Katanya lagi, mahkamah tidak menetapkan tarikh seterusnya untuk sebutan rayuan, sementara menunggu permohonan pasukan pembelaan untuk lanjutan masa.
Selain Wan Aizuddin, peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah dan peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili Najib hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul.
Sebelum ini dilaporkan Najib mahu melantik QC untuk mewakilinya dalam rayuan kes SRC.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai