Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemandu teksi mengaku tak salah eksploitasi lelaki jadi peminta sedekah

Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengeksploitasi seorang individu bagi tujuan meminta sedekah pada tahun lepas.

Nurul Hidayah Md Nor, 30, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Surita Budin.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa memperdagangkan lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei hingga 7 Nov 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nor Azizah Aling manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Dia juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sebulan sekali selain tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Mei untuk serahan dokumen.

- Bernama