Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah batalkan tahanan Poca pada Alvin Goh

Ahli perniagaan, Alvin Goh, dua hari lalu dibebaskan selepas satu setengah tahun ditahan mengikut Akta Pencegahan jenayah 1959 (Poca) ekoran didakwa terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan tersebut pada Rabu selepas berpendapat penahanan dibuat ke atas Goh tidak mengikut undang-undang.

Pada Nov 2020 mahkamah tinggi menolak permohonan awal habeas corpus Goh - atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong - berhubung arahan tahanan reman yang dikeluarkan ke atasnya mengikut Poca.

Rayuannya yang dibuat ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak selepas itu.

Dia kemudian mencabar arahan penahanan selama dua tahun itu melalui permohonan habeas corpus berasingan dan diterima mahkamah dua hari lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, peguam Goh, Marcus Lee, mengesahkan hal tersebut dan memberitahu ahli perniagaan terbabit dibebaskan dari tahanan di Simpang Renggam, Johor pada Rabu.

Katanya mahkamah membenarkan permohonan Goh yang mencabar penahanannya yang dibuat mengikut Seksyen 19A(1) Poca.

"Dia (Roz Mawar) membuat beberapa penilaian, antara lain, berdasarkan afidavit pihak berkuasa, elemen keganasan terancang tidak ada," katanya.

KDN jadi responden

Untuk rekod seksyen 19A(1) itu melibatkan prosedur mengeluarkan arahan tangkapan ke atas seseorang suspek.

Seksyen 19A(2) akta sama bagaimanapun menyatakan arahan daripada Lembaga Pencegahan Jenayah boleh tertakluk kepada semakan mahkamah.

Undang-undang penahanan pencegahan jenayah Malaysia, seperti Poca, memberi hak kepada pihak berkuasa seperti polis untuk memenjarakan suspek sebelum perbicaraan mahkamah, dengan anggapan bahawa pembebasan mereka tidak memberikan kepentingan terbaik buat masyarakat.

Hal itu kerana mereka didakwa berkemungkinan melakukan jenayah kekerasan yang mengancam keselamatan awam jika dibebaskan.

Selain Lee, ahli lain dalam pasukan peguam Goh ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, Gobind Singh Deo, Jacky Loi, PG Cyril dan Lim Jin Wen.

Kementerian Dalam Negeri - yang merupakan responden dalam permohonan habeas corpus Goh - diwakili peguam kanan persekutuan Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Goh (kanan) dan Addy Kanna

Pada 12 April tahun lalu Goh, 33, dan adiknya, Goh Yeong Hui, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM2.1 juta.

Pada 1 Dis 2020 pula, Bernama melaporkan bahawa suspek utama di sebalik kegiatan perjudian dalam talian - iaitu Goh dan ahli perniagaan Zaidi Kanapiah serta dua pegawai polis - ditahan selama dua tahun di bawah Poca.

Bagaimanapun, Zaidi yang juga dikenali sebagai Addy Kanna berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan penahanan tersebut.

[Baca berita penuh]