Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kempen #Undi100Peratus dilancar bagi galakkan anak muda keluar mengundi

Beberapa kumpulan anak muda bersama-sama melancarkan kempen #Undi100Peratus dalam usaha mencapai 100 peratus peratusan keluar mengundi kalangan anak muda pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Kempen yang dilancarkan oleh Undi18, Arkitek Kepelbagaian (AOD) dan UndiNegaraku itu juga bertujuan memastikan suara anak muda didengari oleh parti politik.

“Dengan khabar angin yang kuat mengenai pilihan raya yang akan datang, adalah amat penting bagi golongan muda mula mengambil bahagian secara aktif dalam politik Malaysia atau berisiko ketinggalan.

“Jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah baru-baru ini, terutamanya dalam kalangan anak muda seharusnya menjadi isyarat yang membimbangkan kepada semua, terutamanya kepada parti politik yang berminat untuk membawa perspektif baharu tentang politik.

“Kita perlu mengambil langkah drastik untuk memastikan pengundi muda yang terkesan dengan rang undang-undang Undi18 bukan sahaja membawa suara mereka ke media sosial, tetapi juga ke peti undi untuk kita menilai kesahihan sebarang keputusan pilihan raya yang akan datang,” kata pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri dalam satu kenyataan.

Pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini merupakan pilihan raya pertama yang menyaksikan demografi baru pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun, selepas pelaksanaan Undi18.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor kepada 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Bagaimanapun, pilihan raya itu menyaksikan peratusan keluar mengundi agak rendah iaitu 1,426,573 orang atau 54.92 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar membuang undi, walaupun terdapat penambahan hampir 750,000 pengundi termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun.

Pengesahan Pendaftaran Pengundi Automatik dan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun telah memperkenalkan sekurang-kurangnya 4 juta pengundi muda dalam daftar pengundi, kata kumpulan itu.

Sebahagian daripada kempen itu termasuk melancarkan laman web undi100.org sebagai platform untuk mendidik belia tentang sistem pilihan raya negara, panduan pemula untuk mengundi serta pengetahuan penting mengenai isu semasa.

Anak muda juga digalakkan untuk mengemukakan tuntutan dan visi mereka untuk Malaysia di laman web itu.

Perbahasan seluruh negara juga akan dijalankan di wilayah Utara, Selatan, Pantai Timur, Tengah dan Borneo bagi membolehkan ahli politik anak muda berdebat mengenai isu semasa.

“#Undi100Peratus percaya bahawa ini akan membolehkan lebih banyak wacana politik dan sosial di kalangan anak muda di Malaysia dan menjadi pemangkin untuk mengalihkan wacana politik daripada politik keperibadian dan identiti, bersama-sama memberikan pendedahan terhadap landskap politik dan sosial di Malaysia,” tambah mereka.

Undi18 turut mengumumkan pengambilan perintis di seluruh negara yang akan ditugaskan untuk mendidik dan memperkasakan masyarakat tempatan tentang kepentingan mengundi.