Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Wan Fayhsal: Orang Cina undi DAP juga kerana mentaliti 'pelindung'

Mentaliti pelindung kaum bukan hanya dimiliki orang Melayu, menurut Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pada masa sama dia membayangkan oleh kerana Perikatan Nasional (PN) memberi "keyakinan" kepada orang Melayu, gabungan yang diketuai Bersatu itu dapat membekalkan undi Melayu kepada PH.

Kenyataan ini dibuat menerusi video yang dimuat naik di media sosial semalam, di tengah kritikan ekoran kenyataannya bahawa orang Melayu berpemikiran neofeudal dan memerlukan pelindung.

Wan Fayhsal berkata PH enggan mengakui wujudnya perkara itu.

Dalam satu video, timbalan menteri perpaduan negara itu berkata pelindung kaum turut menjadi faktor ketika orang Cina mengundi.

"Ini bukan hanya unik kepada orang Melayu. Kenapa pengund Cina masih berpegang kepada DAP? Kerana mereka juga lihat DAP sebagai pelindung kepentingan Cina.

"Kenapa kita mengundi berasaskan kaum? Kerana kita kita yakin parti-parti politik ini bukan saja mewakili kepentingan negara, tetapi juga kepentingan kaum.

"Mengapa susah sangat untuk PH, orang macam Rafizi dan lain-lain serta Muda untuk faham perkara ini," katanya, sambil menambah kegagalan PH kerana tida mengambil kira sosiologi politik Melayu.

Namun katanya ia tidak bermakna menerima politik perkauman seperti yang diamalkan Umno.

Sebelum ini, Wan Fayhsal berkata orang Melayu menolak PH kerana mereka belum bersedia untuk menerima "demokrasi liberal sepenuhnya".

Mengulas lanjut semalam, Wan Fayhsal berkata dalam masyarakat timur seperi Malaysia, tidak wujud kesamaan untuk semua, sebaliknya kesaksamaan untuk semua.

"Setiap rang ada tempat yang wajar dalam semua perkara," katanya, sambil memetik bagaimana di barat ada anak yang memfailkan saman terhadap ibu bapa, manakala di timur kedudukan ibu bapa diletakkan pada kedudukan tinggi.

Dia juga berkata pengundi Melayu beralih kepada PN kerana gabungan itu memberi "zon selesa" kepada mereka.

Zon selesa

Dia juga membayangkan PH boleh meraih kelebihan daripada perkara itu.

"Pengundi Melayu beralih kepada PN kerana ada zon selesa, satu jaminan keyakinan yang PN berikan kepada orang Melayu yang tolak Umno, dan bawa (undi Melayu) kepada PN dan PH," katanya.

Kenyataan itu di saat ada gesaan agar Bersatu meneroka kerjasama politik baru bagi menghadapi PRU15, yang dijangka diadakan pada separuh kedua tahun ini.

Terdapat juga sejumlah pemimpin dalam PH yang membangkitkan idea "khemah besar" - gabungan semua pembangkang untuk melawan BN.

PH dan PN kalah dalam beberapa pilihan raya negeri ekoran perpecahan undi. Dalam PRN Melaka dan Johor, perpecahan undi membolehkan BN meraih majoriti dua pertiga walaupun menang kurang separuh daripada undi popular.