Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Menjadi Muslim yang lebih baik

ULASAN | Tular pula isu seorang guru mengambil makanan dan minuman seorang murid sebelum memaksa kanak-kanak terbabit terus berpuasa. Itu adalah antara kisah yang mewarnai Ramadan kali ini.

Guru terbabit malah menasihati pelajar berkenaan untuk terus berpuasa ketika memulangkan makanan dan minuman yang diambil.

Ada sekolah pula mengeluarkan kenyataan bahawa kantin mereka ditutup bagi melatih pelajar berpuasa, selain menghormati orang yang berpuasa. Khabarnya juga ada pihak pentadbiran sekolah menyediakan sebuah bilik khas untuk murid bukan beragama Islam dan yang tidak berpuasa.

Apa yang berlaku ini berbeza dengan pengalaman saya semasa bersekolah rendah di Sarawak dan Labuan dari darjah satu sehingga darjah enam dulu.

Sepanjang Ramadan, kantin sekolah kami beroperasi seperti biasa. Pelajar bukan Islam dan Muslim yang tidak berpuasa tidak dihalang daripada makan atau minum di kantin ketika waktu rehat.

Pelajar yang berpuasa pula bebas melakukan aktiviti sendiri sama ada mereka memilih untuk kekal di dalam kelas, atau bermain-main dalam kawasan sekolah.

Kebiasaannya pelajar yang bersekolah kebangsaan dan bersekolah agama mula berpuasa dari darjah satu. Namun begitu tidak ada sebarang paksaan daripada guru supaya mereka teruskan berpuasa jika boleh memudaratkan.

Kantin sekolah agama pula ditutup sepanjang Ramadan. Pun begitu pelajar yang tidak berpuasa atau uzur boleh membawa bekal snek sendiri.

Sama ada ke sekolah agama pada sesi pagi atau petang, pelajar boleh saja mengambil makanan berat di rumah.

Perangai berbeza

Walaupun begitu puasa bagi pelajar tidak dilaksanakan dengan keras di sekolah, di luar, pihak berkuasa tetap memantau, menyelidik dan menahan orang berwajah Melayu yang makan di khalayak ramai.

Kadang-kadang terasa kasihan kepada jiran berbangsa Iban yang ditahan ketika makan sambil berjalan di luar pasar raya kerana disyaki sebagai orang Melayu yang tidak berpuasa.

Ketika di Labuan, keadaan menyedihkan saya alami. Di sana ada pelajar-pelajar berbangsa Melayu dari Semenanjung cenderung untuk mengejek, membuli, memulaukan pelajar tempatan. Mereka juga bersifat rasis.

Perangai itu sangat berbeza dengan pelajar tempatan yang sentiasa lebih terbuka dan lebih inklusif.

Di sana juga wujud juga 'pantang larang' aneh lagi lucu dalam kalangan pelajar Melayu Semenanjung ketika berpuasa. Bagi mereka, melihat makanan adalah dilarang, manakala kentut difahami mereka sebagai salah satu perbuatan yang boleh menyebabkan puasa terbatal.

Mereka juga berpendapat bahawa ilmu Islam adalah eksklusif untuk Muslim (Melayu) saja.

Pernah pada suatu hari ketika saya bercerita tentang sirah nabi yang diminta oleh senior berbangsa Iban, rakan sebaya saya - seorang Melayu Semenanjung - dengan tegas menyuruh saya berhenti.

“Tidak baik cakap pasal Islam kepada orang kafir,” katanya tanpa berselindung.

Bagaimanapun kami mengabaikan desakan pelajar tersebut. Saya terus bercerita dan menariknya senior berbangsa Iban berkenaan berkongsi pula apa yang diketahuinya semasa mengikuti mata pelajaran Pendidikan Moral.

Kejutan budaya

Komuniti dari Semenanjung tinggal dalam kejiranan yang sama di sana. Melalui pemerhatian saya, biasanya anak-anak yang cenderung membawa sifat negatif itu dibesarkan oleh ibu yang menjadi suri rumah.

Waktu petang mereka banyak dihabiskan di kawasan lapang berhampiran padang permainan untuk berborak.

Sesekali sampailah khabar adanya krisis di antara mereka. Memang begitulah lazimnya - berselisih faham, berbaik semula, sebelum kembali bermasam muka.

Di Labuan, saya boleh memilih untuk bergaul dengan orang tempatan.

Apabila pulang ke Semenanjung, saya mengalami kejutan budaya dan agama semasa bersekolah dan tinggal di kawasan komuniti Melayu Semenanjung. Perbuatan mengejek, membuli, memulaukan dan rasis jauh lebih teruk berbanding di Labuan.

Ketika mengikuti latihan amali di Kuala Lumpur, ada rakan bukan Islam akan pergi ke restoran yang menghidangkan masakan daging babi. Selepas habis rehat, mereka akan dijauhi secara halus dan interaksi dikurangkan oleh sesetengah orang.

Salah seorang rakan praktikal Melayu memberi alasan: “mereka makan babi.”

Sebelum itu sudah berlaku sedikit pergeseran di antara pelajar Melayu Semenanjung dan pelajar Islam dari Sarawak. Hanya kerana tidak bertudung selepas selesai kuliah, rakan saya dicerca oleh sekumpulan perempuan Melayu Semenanjung yang bertudung singkat, memakai baju T berlengan pendek dan seluar jeans ketat.

“Mereka makan babi, tetapi mereka bukannya babi," kata saya selepas tidak dapat menahan kemarahan atas pemikiran sempit sebegitu.

Saya juga melihat bagaimana mereka 'menghukum' seorang senior bukan Islam yang mahu belajar mengenai Islam. Kata mereka, perbuatan senior terbabit ke masjid untuk praktis solat Jumaat adalah sia-sia kerana dia seorang kafir.

Bagi mereka, haram untuk seseorang yang bukan Islam berkunjung ke masjid.

Pemikiran begini menyebabkan saya tidak terkejut dengan hal-hal yang berlaku oleh mereka yang menyelewengkan dan mencemarkan agama. Babi haram dimakan tetapi yang lain boleh 'disapu bersih.'

Pun begitu isu guru yang keras mendidik pelajar agar berpuasa tidak boleh dipandang hanya dari satu sudut. Perlu diakui pada sisi lain, tetaplah ada guru yang cuba menasihati pelajar yang sudah baligh untuk berpuasa kerana mereka kelihatan culas, bukannya disebabkan faktor yang wajar.

Apabila guru menghubungi ibu bapa pelajar tersebut, ibunya memberi alasan anaknya masih kecil. Ibu pelajar menasihati guru tersebut supaya tidak menyuruh anaknya berpuasa dan dosa anak ditanggung mereka.

Dapat kita lihat sekarang ini, ketika ada pihak yang ekstrem dan keras dalam melaksanakan perintah agama, ada juga yang mempraktikkan suruhan Tuhan secara begitu longgar.

Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi mendidik seseorang yang beragama Islam menjadi lebih baik dengan mengurangkan kata-kata tidak bermanfaat dan juga sentiasa berbaik sesama manusia.

Semoga generasi Melayu Islam sekarang sedar bahawa agama ini bukan eksklusif untuk orang Melayu sahaja.Tinggalkanlah "Islam Melayu" yang selalu memberikan fokus kepada benda remeh dan menolak untuk berasimilasi dengan kaum-kaum lain di Malaysia.

Contohnya, percaya bahawa haram untuk orang Islam makan menggunakan penyepit.

Tingkatkan bacaan, luaskan pergaulan, dan mengembaralah. Kembali kepada ajaran Islam yang benar dan penuh kelembutan dalam mendidik.


JASMIN MOHAMMAD seorang yang suka berkongsi hal-hal kehidupan dan pengalaman dari sudut pandang berbeza.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.