Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Masih perlu pakai pelitup muka dalam peralihan ke endemik - Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelitup separuh muka masih diperlukan untuk fasa "peralihan kepada endemik".

Dalam satu kenyataan hari ini, Noor Hisham menegaskan bahawa Malaysia belum memasuki fasa "endemik”, justeru masyarakat harus tetap berwaspada kerana virus Covid-19 masih wujud dan menular serta mengakibatkan kematian terutamanya di kalangan warga emas, kanak-kanak, individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah, dan individu yang mempunyai komorbid.

Katanya, penyakit endemik seperti HIV, tuberkulosis dan malaria sekali pun masih memerlukan campur tangan aktif untuk mengurangkan penularan, penderitaan dan kematian.

"Walaupun sebahagian besar penduduk Malaysia telah menerima vaksin Covid-19 dos primer, amalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang munasabah masih perlu diteruskan oleh setiap individu dalam fasa peralihan ke endemik.

"Ini adalah bagi memberi perlindungan yang berterusan kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah, dan individu yang mempunyai komorbid.

"Menurut WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), pemakaian pelitup muka adalah antara langkah pencegahan yang dapat mengurangkan penularan virus SARS-CoV-2 terutamanya di dalam kawasan jangkitan berisiko tinggi seperti tempat tertutup dengan pengudaraan yang tidak baik, tempat sesak, dan tempat individu melakukan interaksi jarak dekat," tambahnya.

Noor Hisham berkata memandangkan Malaysia masih ditakrifkan sebagai "kawasan jangkitan tempatan" di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sehingga 30 Jun 2022, protokol Covid-19, termasuk memakai pelitup muka, masih berkuat kuasa.

Hanya WHO yang mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan penyakit "endemik" - ditakrifkan sebagai penyakit yang beredar dalam masyarakat dengan kadar jangkitan yang stabil, di mana lonjakan bermusim atau gelombang besar sekali-sekala mungkin berlaku.