SJK (C) Puay Chai 2, surau pupuk muhibah dengan toleransi parkir
Sebilangan netizen di media sosial hari ini memuji tindakan sebuah sekolah rendah yang membuka pintunya kepada umat Islam yang memerlukan kawasan parkir untuk ke surau berhampiran.
Sempena Ramadan, pengunjung Surau as-Syakirin yang terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya memang dikunjungi orang yang lebih ramai dari biasa.
Kebetulan pula SJK (C) Puay Chai 2 terletak berhadapan dengan surau tersebut dan pihak pentadbiran sekolah terbabit membantu menyediakan ruang meletak kenderaan di dalam premis mereka.
Seorang kakitangan sekolah memberitahu Malaysiakini, amalan tersebut sebenarnya bukan perkara baru.
Malah katanya pengunjung surau sudah menggunakan tempat letak kereta sekolah terbabit setiap Ramadan sejak 10 tahun lalu.
Amalan tersebut pula bukanlah bersifat berat sebelah. Pada ketika tertentu pihak surau membuka pintu untuk membolehkan kawasan parkir mereka digunakan ibu bapa pelajar SJK (C) Puay Chai 2.
Keadaan itu berlaku setiap Isnin hingga Khamis, atau apabila ada mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru.
Kakitangan yang enggan didedahkan identitinya itu berkata walaupun surau berkenaan mempunyai tempat letak kereta sendiri, ia tidak dapat menampung keperluan penduduk Islam setempat.
Justeru katanya untuk membantu meringankan masalah pengunjung surau serta mengurangkan kesesakan lalu-lintas, pihak sekolah menghulurkan bantuan.
"Kami sentiasa menjalinkan hubungan mesra. Sepatutnya beginilah yang perlu kita lakukan dalam masyarakat," kata kakitangan terbabit.
Perkara itu mendapat perhatian di media sosial selepas ia dimuat naik oleh pengguna Twitter Fedtri Yahya.
Pada 3 April lalu, Fedtri memuat naik gambar solat berjamaah di surau berkenaan dengan kapsyen yang memaklumkan pihak sekolah membuka ruang untuk umat Islam sekolah rendah Cina berkenaan.
Ciapan itu mendapat respon netizen yang lain yang tidak menyedari hubungan yang terjalin lama itu, turut memuji pihak sekolah kerana berbuat demikian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai