Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar: Waktu sesuai debat dengan Najib sedang diaturkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pihaknya dalam proses menyelaraskan waktu yang sesuai untuk berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung isu Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).

Anwar berkata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil telah diminta untuk membuat penyelarasan dan pihak Najib berhubung perkara itu.

“Dia juga telah diminta berbincang dengan pihak media terkait liputan penganjuran debat tersebut yang bagi saya harus disiarkan secara meluas,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam Najib menyatakan persetujuan untuk berdebat dengan Anwar setelah pengerusi PH itu menyahut cabaran tersebut.

Najib turut meminta agar Anwar dan pemimpin PKR Rafizi Ramli mengadakan debat itu disiarkan secara langsung, dan beberapa agensi media dilaporkan sedang berbincang untuk menganjurkan acara itu.

Anwar menerima cabaran itu semalam, dan berkata pendiriannya kekal tidak berubah sejak pertama kali mencabar Najib untuk berdebat mengenai ekonomi lebih sedekad lalu, yang akhirnya tidak berlaku.

Sapura Energy ialah syarikat senarai awam yang telah menerima pelaburan besar daripada syarikat milik kerajaan iaitu, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang bertanggungjawab ke atas dana seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Malaysia.

PNB memegang 40 peratus kepentingan dalam Sapura Energy, meningkat daripada 10 peratus daripada 2018 kerana ia terus menyalurkan dana kepada syarikat bermasalah itu.

Bagaimanapun, Sapura Energy baru-baru ini memerlukan bantuan kewangan seterusnya yang menimbulkan persoalan sama ada PNB perlu terus menyuntik dana untuk mengeluarkan firma itu daripada masalah kewangannya.

Najib telah mencadangkan bail out kerajaan untuk Sapura Energy, manakala Rafizi berkata pengurusan baru syarikat itu mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah itu sendiri.