KPDNHEP terima 7 aduan penyelewengan petrol bersubsidi di Johor
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima tujuh aduan berhubung dakwaan penyelewengan petrol bersubsidi RON95 melibatkan kenderaan berpendaftaran asing sejak sempadan negara dibuka mulai 1 April.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata kesemua kes berkenaan dilaporkan berlaku di Johor dan dua stesen minyak kini sedang disiasat.
"Kita sedang memuktamadkan siasatan tersebut," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini, ketika diminta mengulas mengenai gambar tular memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol menggunakan nozel kuning yang disyaki RON95.
Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Sabtu lepas juga mengingatkan pengusaha stesen minyak yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing boleh dikenakan tindakan tegas.
"Jika kuantiti petrol RON 95 digunakan pihak yang tidak berkelayakan, ia akan menjejaskan bekalan untuk rakyat kita sendiri," kata Azman yang turut menyeru pengguna untuk menyalurkan aduan terus kepada KPDNHEP jika terserempak dengan insiden sedemikian.
Mengulas isu harga ayam yang tidak stabil di beberapa tempat, Azman berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana harga ayam adalah kekal pada RM8.90 sekilogram buat masa ini.
"Apabila ada penetapan harga, ia wajib dipatuhi. Bagi setiap penetapan harga yang dilaksanakan, kami telah berikan margin yang bersesuaian pada setiap keuntungan. Jadi, sepatutnya tidak ada isu mengatakan pemborong tidak cukup margin dan sebagainya," katanya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 31 Jan lepas mengumumkan kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah pada RM8.90 sekilogram. Penetapan harga itu berkuat kuasa mulai 5 Februari lepas hingga 5 Jun 2022.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai