Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Indonesia tolak cadangan BM jadi bahasa kedua Asean

Menteri Indonesia menolak cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua Asean.

Menurut laporan portal Kompas, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Nadiem Makarim berkata dia memaklumkan perkara itu kepada Ismail ketika kunjungannya ke Indonesia baru-baru ini.

“Saya sebagai menteri pendidikan dan kebudayaan tentu menolak usulan tersebut. Namun kerana ada keinginan negara sahabat kita mengajukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Asean, tentu keinginan tersebut perlu dikaji dan dibahas lebih lanjut," kata Nadiem dalam kenyataan, seperti dipetik laman itu.

Nadiem berkata masyarakat Indonesia tentunya mahukan pemerintah negara itu terus menguatkan dan mempertahankan bahasa Indonesia.

Malah katanya, bahasa Indonesia lebih layak untuk diangkat sebagai bahasa kedua Asean berdasarkan sejarah dan kehebatan linguistiknya.

Pada 23 Mac lalu, Ismail berkata dia akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Asean untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.

Ismail Sabri berkata, selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sementara itu Nadiem yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Go-Jek itu menjelaskan bahasa Indonesia telah menjadi bahasa terbesar di Asia Tenggara.

Malah bahasa Indonesia telah digunakan di 47 buah negara, katanya.

"Selain itu, bahasa Indonesia juga telah diajarkan sebagai mata kuliah di sejumlah kampus kelas dunia di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, serta di beberapa perguruan tinggi terkemuka di Asia.

“Dengan semua keunggulan yang dimiliki bahasa Indonesia dari aspek sejarah, hukum, dan linguistik, serta bagaimana bahasa Indonesia telah menjadi bahasa yang diterima di peringkat antarabangsa, selayaknya bahasa Indonesia duduk di posisi terdepan, dan jika mungkin menjadi bahasa pengantar untuk pertemuan-pertemuan rasmi Asean," tegas Nadiem.