Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Antara ahli politik 'gentleman' pernah M'sia ada

ULASAN | Mengenang Lim Kit Siang, saya teringat kepada 1981. Di kantin parlimen, dia bertanya saya: apa itu politik? Saya bagitahu apa yang Harold Lasswell kata, iaitu politik adalah tentang siapa mendapat apa, bila dan bagaimana?

Kit Siang menegaskan bahawa definisi itu tidak tepat. Katanya, politik merupakan suatu komitmen.

Semasa BN menguasai parlimen dengan majorti dua per tiga, tidak ada media sosial, tidak ada gabungan pembangkang - tetapi ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat - dia membangunkan DAP sehingga akhirnya bersama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada 2018.

Kejayaan itu tentulah kerana komitmennya. Dia konsisten, tabah, kuat, dan berdaya tahan dalam mempertahankan prinsip perjuangan sehingga akhirnya diterima rakyat.

Semua perjuangan Kit Siang kini tinggal kenangan. Pada 20 Mac 2022 - semasa kongres DAP di Shah Alam - pada usia 81 tahun dan telah bersama DAP selama 56 tahun, anggota Parlimen Iskandar Puteri itu mengumumkan persaraannya dalam politik.

Selepas pengumumannya, ada pihak mengesyorkan agar kerajaan memberikan penghormatan buat Kit Siang.

Bagi saya, sama ada Kit Siang diberi gelaran atau tidak, dia ialah antara ahli politik terbaik dan gentleman (budiman) yang pernah Malaysia ada.

Sifat yang sukar dicari

Dia bersara dengan sifar kes pecah amanah dan menipu. Pada 2018, Kit Siang mempunyai peluang luas untuk menyertai kabinet, tetapi dia memilih untuk berada di luar.

Legasinya sebagai ahli politik yang mempertahankan apa yang diyakini benar untuk kesejahteraan dan keadilan rakyat, tanpa takut dan gentar, akan tetap segar dalam ingatan.

Ketahanannya menghadapi cabaran dan tekanan telah mengajar saya apa itu maksud “never give up” (jangan pernah menyerah).

Bagi saya, jika hanya ada 10 peratus daripada pemimpin kita mempunyai sikap berprinsip, integriti, akauntabiliti seperti Kit Siang, Malaysia sudah menjadi antara negara termaju di dunia hari ini.

Malangnya, inilah yang sukar kita cari dalam kalangan pemimpin yang ada.

Apakah Kit Siang tidak ada kesilapan politik? Ada.

Satu yang saya jelas ialah dia tidak menegur Dr Mahathir Mohamad apabila ahli parlimen Langkawi itu menyatakan manifesto bukan kita suci. Inilah kekecewaan pertama rakyat kepada kerajaan PH.

Kedua, dia berjanji untuk meletakkan jawatan jika Mahathir tidak menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim. Malangnya, ia tidak terjadi biarpun Mahathir tidak menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sehinggalah berlakunya Langkah Sheraton.

Ya, akhirnya dia meletakkan jawatan, tetapi 24 bulan terlewat.

Ketiga, dia tidak menegur beberapa dasar kedekut kerajaan PH yang meresahkan rakyat.

Tetap dikagumi ramai

Selain kesilapan di atas, Kit Siang boleh berdiri tegak untuk menjadi model hidup tentang integritil, kesetiaan dan ketabahan buat diteladani ahli politik yang lebih muda.

Falsafah politiknya tentang keadilan sosial, reformasi ekonomi, dan kesaksamaan adalah menarik dan perlu diteruskan oleh pemimpin baru selepas ini.

Falsafah politik inilah yang turut diperjuangkan oleh pemimpin besar negara kita yang terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra, Abdul Razak Hussein, Dr Ismail Abdul Rahman, adik-beradi Seenivasagam, Tan Chee Khoon, Almarhum Fadzil Noor, dan Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sehingga kini dikenang rakyat dengan rasa penghormatan dan kekaguman penuh.

Akhirnya, bagi saya, menilai perjalanan politik Kit Siang, dia telah membuktikan apa yang telah dikatakannya kepada saya 41 tahun dahulu: politik itu komitmen.

Dia ialah seorang pemimpin yang sangat memberi inspirasi untuk negara tercinta ini, yang kita panggil Malaysia.

Lim Kit Siang mungkin bukan bergelar Tan Sri atau Tun, tetapi dia telah mendemokrasikan politik Malaysia.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah bekas ahli akademik dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.