Pemandu kren maut dalam kemalangan di Jeli
Seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu kren maut dan tiga mangsa lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 86, Jalan Kota Bharu - Machang- Gerik, di Jeli, awal pagi tadi.
Che Mohamed Faizul Che Muda, 31, yang memandu kereta Proton Wira mengalami cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 2.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata ketika kejadian mangsa bersama isteri dan dua anak dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa bertembung dengan kereta jenis BMW 520i yang dipandu dari arah bertentangan oleh seorang lelaki berusia 40 tahun.
"Akibat pertembungan itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isteri, Haryati Rahim, 26, serta seorang anak berusia enam tahun cedera ringan dan anak mangsa berusia dua tahun tidak cedera. Pemandu kereta BMW pula 520i hanya mengalami sakit badan.
"Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ditanya dakwaan tular di laman sosial Facebook yang mengatakan kejadian berlaku di jalan yang sedang dibaiki dan tiada papan tanda, Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
"Pihak polis mohon kerjasama daripada saksi yang melihat kejadian untuk membantu siasatan," ujarnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai