Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasukan Rafizi: Perlu perbincangan lebih inklusif dengan DAP, Amanah

WAWANCARA | Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebarang persetujuan yang dicapai DAP dan Amanah dengan parti di luar Pakatan Harapan (PH) perlu dibincangkan dengan PKR.

Ketika berkata demikian, Nik Nazmi merujuk kepada pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini yang menyaksikan calon DAP dan Amanah bertanding di bawah logo PH, manakala calon PKR menggunakan logo parti mereka sendiri.

"Anda boleh lihat dalam PRN Johor ada banyak kenyataan yang kami tidak dimaklumkan. Tiba-tiba 'DAP-Amanah, DAP-Amanah'.

"Dan kemudian ada rundingan dengan Muda. Bagi kami itu tidak begitu bagus kerana PH harus bercakap bersama-sama," katanya dalam temu bual bersama dengan penyandang naib presiden PKR Chang Lih Kang.

Nik Nazmi berkata PKR bertanding dengan logo berbeza daripada DAP dan Amanah di Johor tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perbincangan antara ketiga-tiga parti itu.

“Kami (PKR) menggunakan logo berbeza, tetapi Muda juga tidak menggunakan logo PH.

“PH masih wujud sebagai gabungan berdaftar jadi tidak timbul isu mengenai DAP dan Amanah bercakap dengan kami tentang cara mendekati Muda,” katanya.

Pemimpin PH daripada ketiga-tiga parti telah bertemu pemimpin Muda Johor untuk perbincangan awal sebagai sebahagian daripada strategi untuk menyatukan semua kuasa pembangkang bagi menentang BN.

Ini diikuti dengan pertemuan berasingan yang menyaksikan DAP dan Amanah memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di enam daripada 56 kerusi di DUN Johor.

PKR dan Amanah masing-masing diperuntukkan 20 kerusi, manakala DAP bertanding 16 kerusi, dengan ketiga-tiga parti mempunyai pilihan untuk menyerahkan kerusi mereka kepada parti pembangkang lain, termasuk Muda, Warisan, dan Pejuang.

Muda bagaimanapun akhirnya bertembung dengan PKR di Larkin selepas rundingan terputus membabitkan permintaan awal Muda untuk mendapatkan tiga lagi kerusi daripada PKR.

Mengimbas kembali, Nik Nazmi berkata proses itu mungkin boleh lebih inklusif, "bukan hanya 'Amanah dan DAP bercakap dengan Muda, tinggalkan PKR dan kita perlu bercakap dengan Muda'.

"Itu menjadikannya satu proses yang sangat panjang. Akhirnya, kita mahu semua orang melakukan yang terbaik," tambahnya.

Dilaporkan ketika itu kebuntuan antara PKR dan Muda melibatkan permintaan Muda untuk meletakkan calonnya di Sri Medan, Gambir, dan Larkin.

PKR sebaliknya bersedia menawarkan Sri Medan, Semarang, dan Benut - kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), ketika parti itu menjadi sebahagian daripada PH.

Nik Nazmi bagaimanapun berkata PKR masih boleh meneruskan rundingan masa depan dengan Muda berdasarkan nilai bersama mereka, tidak seperti yang lain dalam pembangkang seperti Pejuang dan Warisan.

Mengimbas pengalaman peribadi mereka sebagai pemimpin pemuda dan bertanding untuk PKR, itu, Nik Nazmi dan Chang berkata Muda harus menerima situasi apabila diperuntukkan "kerusi sukar" sebagai sebahagian daripada proses politik.

“Saya rasa apa yang penting untuk disedari, adakah kita (PKR) telah melalui tempoh itu apabila terpaksa mengambil kerusi ‘jin bertendang’ (luar bandar).

“Sebenarnya tidak ada yang salah dengan itu,” kata Nik Nazmi sambil memetik contoh kerusi luar bandar PKR di Sarawak dalam kalangan masyarakat Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.

"Jadi saya fikir jika Muda ingin terus terlibat bagi jangka masa panjang... tidak apa jika anda mahu satu atau dua kerusi yang bagus, tetapi anda juga perlu mengambil kerusi yang sukar," tambahnya.

[Baca wawancara penuh]