Dua kilang proses makanan diarah tutup kerana menjijikkan
Dua buah kilang, masing-masing memproses produk berasaskan kacang soya, dan mi serta kuetiau, diarah tutup selama dua minggu kerana didapati kotor lagi menjijikkan.
Antara dapatan yang dibuat termasuklah adanya najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.
Pegawai Kesihatan Persekitaran, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid, berkata menerusi serbuan Op Tegar Siri 2 itu, pihaknya mendapati tahap kebersihan kedua-dua premis tersebut tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.
Katanya, kilang-kilang tersebut - terletak di Jalan Perak dan Batu Lanchang di George Town - juga dikenakan tiga kompaun setiap satu dengan nilai hampir RM12,000.
"Malah, pihak kami juga memberi Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini hingga 16 April," katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.
Mohd Wazir menambah dalam pemeriksaan di kilang memproses produk berasaskan kacang soya di Batu Lanchang, pihaknya menemui najis tikus, bekas penutup soya dipenuhi fungus dan lipas, malah premis yang beroperasi sejak 10 tahun lepas itu juga didapati meletakkan bekas berisi kacang soya di atas lantai tandas di kilang itu.
Malah lebih menjijikkan, katanya, apabila kawasan kilang yang menghasilkan produk seperti air kacang soya, tauhu dan taufufah untuk edaran di sekitar George Town itu turut berbau hancing dipercayai berpunca daripada air kencing tikus.
Menurutnya kilang tersebut pernah dikenakan kompaun dan diarahkan tutup selama 14 hari atas kesalahan sama pada dua tahun lepas.
Sementara itu, Mohd Wazir berkata, kilang pembuatan mi dan kuetiau berkenaan didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan peralatan yang digunakan dipenuhi habuk dan lendir.
Katanya mereka percaya peralatan tersebut tidak pernah dibasuh, selain keadaan lantai premis yang licin yang boleh mendatangkan bahaya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai