Wan Fayhsal dakwa Mahathir yang 'cari' Muhyiddin
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa komunikasi di antara presidennya, Muhyiddin Yassin, dengan Dr Mahathir Mohamad dimulakan pengerusi Pejuang terbabit.
Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu sekali gus berbeza daripada apa yang didedahkan oleh Mahathir semalam.
Semalam Mahathir - yang meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri ekoran langkah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan - mendakwa dia dihubungi Bersatu untuk mendapatkan sokongan menjadi perdana menteri sekali lagi.
“Bukannya Tan Sri (Muhyiddin) yang nak jumpa Tun (Mahathir), tapi, Tun yang menghantar pegawainya, Khairuddin Salleh, untuk berjumpa dengan Muhyiddin,” kata Wan Ahmad Fayhsal seperti dipetik The Star hari ini.
Semalam, Mahathir mengesahkan Muhyiddin telah bertemu dengannya baru-baru ini.
“Saya tak tau nak kata apa, (tetapi) saya tak jadi perdana menteri kerana Muhyiddinlah, dia tikam belakang (khianati saya).
"Jadi saya tak dapat jadi perdana menteri, sekarang ini dia nak minta tolong orang (yang) dia (pernah) tikam belakang, tetapi tak mati lagi,” kata Mahathir.
Menjelaskan dakwaannya, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia menyifatkan Mahathir sebagai seorang yang sinis dalam membuat kenyataan.
Dia menambah antara topik yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu dalam pertemuan berkenaan ialah memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Untuk rekod, pada Feb 2020 Muhyiddin telah membawa keluar Bersatu dari PH walaupun tidak dipersetuji Mahathir di sebalik kedudukan ahli parlimen Langkawi itu sebagai pengerusi Bersatu.
Muhyiddin bersama sekumpulan ahli parlimen PKR yang berpaling tadah kemudian membentuk kerjasama dan dengan sokongan BN serta PAS menubuhkan kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Muhyiddin dipaksa berundur apabila sekumpulan ahli parlimen Umno menarik kembali sokongan kepadanya.
Tempat Muhyiddin selaku perdana menteri kemudian digantikan dengan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai