Young Syefura sangkal label cauvinis pada DAP
WAWANCARA | Pemilihan parti DAP baru-baru ini menyaksikan Adun Ketari, Young Syefura Othman, membuat penampilan sulung dalam barisan kepimpinan tertinggi parti itu.
Dia bukan saja menang malah mendapat sokongan yang besar, iaitu 991 undi daripada perwakilan seluruh negara.
Di sebalik kejayaan Young Syefura, Kongres Kebangsaan DAP sekali lagi menyaksikan tuduhan dilemparkan terhadap parti itu yang didakwa gagal membuang sifat cauvinis Cinanya.
Hal itu kerana Young Syefura menjadi satu-satunya calon Melayu yang berjaya berada dalam senarai 30 undi tertinggi bagi mengisi kerusi dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Bercakap kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif minggu lalu, Young Syefura bagaimanapun menyangkal label cauvinis terhadap DAP, malah berkongsi perspektif berbeza mengenai keputusan pemilihan parti berkenaan.
Ahli politik berusia 33 tahun itu percaya setiap pemimpin yang dipilih pada itu disokong berdasarkan keupayaan dan perkhidmatan yang diberikan mereka, bukannya latar belakang kaum dan warna kulit.
Sebagai bukti, dia berkata, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menerima undi paling tinggi berbanding semua semua calon, malah mengatasi pemimpin Cina.
"Sesetengah pihak suka mempermainkan persepsi terhadap DAP. Apabila melihat seorang calon Melayu dipilih, mereka bermain dengan persepsi 'mengapa DAP memberi tempat kepada seorang Melayu saja?'
“Tetapi jika kita lihat pada pemilihan baru-baru ini, ia menunjukkan pemimpin dari Sabah dan Sarawak mendapat sokongan yang baik daripada perwakilan. Kita juga melihat bagaimana Gobind mendapat undian tertinggi.
"Jadi, jika orang mendakwa bahawa DAP ialah parti Cina dan ahlinya hanya akan memilih dalam kalangan masyarakat mereka, bagaimana Gobind boleh mendapat sokongan yang begitu besar?
"Pemilihan DAP ini sebenarnya membuktikan sebaliknya," kata Young Syefura.
Pemilihan parti yang diadakan pada 20 Mac lalu menyaksikan Gobind memperoleh 1,782 undi, diikuti Chow Kon Yeow (1,641) dan Anthony Loke (1,625).
Tak pernah terlintas
Selain Young Syefura, terdapat sembilan lagi calon Melayu yang menyertai persaingan bagi menganggotai CEC DAP. Antara mereka ialah peguam dan setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan; Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; dan bekas Adun Sheikh Umar Bagharib Ali.
Keputusan pemilihan juga menyaksikan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, dari Sarawak dan Jannie Lasimbang (Sabah) berada dalam kelompok 30 teratas.
Sejak menyertai politik kira-kira lapan tahun lalu, bekas jururawat itu berkata dia menghadapi banyak cabaran, kebanyakannya berkaitan dengan keputusan menjadi ahli DAP.
Halangan pertama yang dihadapinya, kata Young Syefura, adalah daripada keluarganya sendiri yang membantah keras keputusan dia untuk menyertai parti itu.
“Sebenarnya tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menyertai DAP. Malah ahli keluarga saya yang pernah terlibat dengan politik ketika itu sama ada bersama PAS, Umno atau PKR, tiada seorang pun daripada mereka DAP.
"Saya juga tidak bercadang untuk menyertai politik. Tetapi selepas terlibat dengan perhimpunan dan aktivis Bersih, seorang rakan menghubungi saya di Facebook bertanyakan sama ada saya berminat dengan DAP.
"Pada mulanya, saya memberitahu bahawa saya akan memikirkan tawaran berkenan sebab saya tahu bagaimana orang Melayu melihat DAP.
"Terdapat persepsi negatif terhadap parti itu, malah mereka mengaitkannya dengan komunis, DAP adalah parti cauvinis... yang hanya melayani kepentingan orang Cina," katanya lagi.
Bagaimanapun selepas menghubungi rakannya itu dan diberikan sedikit maklumat mengenai DAP, kata Young Syefura, ia sedikit sebanyak membuka mata dan mindanya.
Ia juga, tambah Young Syefura, membuatkan dia ingin mengetahui lebih lanjut mengenai DAP.
"Jadi saya mencabar diri sendiri untuk mencuba dan melihat diri saya jika semua persepsi yang digambarkan terhadap DAP adalah benar atau tidak," katanya.
Fokus kepada rakyat
Young Syefura berkata selama bertahun-tahun dalam politik, dia telah dituduh melakukan banyak perkara termasuk menjadi pengkhianat bangsa atau hanya dijadikan maskot oleh DAP untuk menarik orang Melayu.
“Kalau orang kata saya hanya maskot DAP, takkan lapan tahun saya sampai ke sini (CEC). Kalau saya maskot DAP, saya sudah naik pangkat, mungkin dalam tempoh lima bulan sahaja.
"Tetapi kita buat kerja kita. DAP adalah parti untuk bekerja. Kalau ada maskot pun, tapi kalau orang itu tidak boleh buat kerja dia, gagal memberikan perkhidmatan yang baik (kepada rakyat), orang itu tidak akan maju dalam DAP," katanya.
Walaupun masih berdepan isu persepsi negatif yang sama hanya kerana menjadi ahli DAP, keadaan itu telah bertambah baik sejak beberapa tahun lalu, kata Young Syefura.
Menurutnya lagi kebanyakan kritikan dan gangguan yang dihadapinya adalah di media sosial, kecuali satu insiden semasa kempen PRU 2018 di Ketari apabila seorang pengundi Melayu menghalaunya.
Tetapi bagi Young Syefura, semua cemuhan dan serangan di media sosial itu tidak memberikan kesan kepadanya kerana dia hanya mahu memberikan fokus kepada berkhidmat untuk rakyat.
"Jika pengundi saya boleh menerima saya, tidak bersikap negatif terhadap saya, itu sudah cukup baik," katanya.
Pada sesi temu bual itu, Young Syefura turut menyentuh mengenai kemerosotan dihadapi Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, yang dipercayai ramai melemahkan parti itu terutama dalam menghadapi PRU akan datang.
Harapan untuk muka baru
Walaupun bersetuju PH telah menyaksikan penurunan dalam sokongan rakyat sejak dijatuhkan pada 2020, pemimpin pemuda terbabit masih menaruh harapan yang tinggi untuk melihat gabungan itu bangkit.
“Kita sedar beberapa pilihan raya (kecil) lepas menunjukkan penurunan sokongan kepada PH.
"Saya harap pucuk pimpinan juga melihat perkara ini dan bersedia untuk berubah, menjadi lebih bertolak ansur, dan bekerjasama membina semula kekuatan PH dan meraih sokongan rakyat semula.
"Kita amat memerlukan semua sokongan yang boleh kita dapat daripada rakyat untuk PRU ke-15 ini," katanya.
Young Syefura juga berharap kepimpinan PH dapat menyelesaikan semua isu yang mereka hadapi sebelum menghadapi PRU akan datang.
"Perbalahan dalaman hanya akan menguntungkan parti lawan dan menjejaskan peluang PH untuk dipilih semula menerajui kerajaan," tegasnya.
Pada masa sama Young Syefura berharap lebih ramai anak muda diberi peluang memimpin dalam PH dan parti komponennya, lebih-lebih lagi apabila negara melaksanakan Undi18.
"Dengan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, kita perlukan idea-idea segar dan muka baru lebih mendesak berbanding sebelum ini agar keyakinan pengundi dikembalikan.
"Saya percaya pengundi atas pagar sedang memerhatikan kita, mahu melihat sama ada kita bersedia untuk membawa perubahan atau tidak.
"Bagi DAP, parti ini sudah bersedia dan ia sentiasa melakukan perubahan. Saya harap PH juga bersedia untuk melakukan perkara yang sama," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai