Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Dari kemiskinan menjadi perhambaan

ULASAN | Biar saya mulakan tulisan ini dengan memetik karya WS Rendra berjudul  Sajak Orang Miskin:

Orang-orang miskin di jalan
yang tinggal di dalam selokan
yang kalah di dalam pergulatan
yang diledek oleh impian
janganlah mereka ditinggalkan.

Angin membawa bau baju mereka.
Rambut mereka melekat di bulan purnama
Wanita-wanita bunting berbaris di cakrawala
mengandung buah jalan raya.

Orang-orang miskin. Orang-orang berdosa.
Bayi gelap dalam batin. Rumput dan lumut jalan raya
tak bisa kamu abaikan.

Bila kamu remehkan mereka
di jalan kamu akan diburu bayangan
tidurmu akan penuh igauan
dan bahasa anak-anakmu sukar kamu terka.

Jangan kamu bilang negara ini kaya
karena orang-orang berkembang di kota dan di desa.
Jangan kamu bilang dirimu kaya
bila tetanggamu memakan bangkai kucingnya.
Lambang negara ini mestinya trompah dan blacu
dan perlu diusulkan
agar ketemu presiden tak perlu berdasi seperti Belanda.
Dan tentara di jalan jangan bebas memukul mahasiswa.

Orang-orang miskin di jalan
masuk ke dalam tidur malammu.
Perempuan-perempuan bunga raya
menyuapi putra-putramu.
Tangan-tangan kotor dari jalanan
meraba-raba kaca jendelamu.

Mereka tak bisa kamu biarkan.
Jumlah mereka tak bisa kamu mistik menjadi nol.
Mereka akan menjadi pertanyaan
yang mencegat ideologimu.
Gigi mereka yang kuning
akan meringis di muka agamamu.
Kuman-kuman sipilis dan tbc dari gang-gang gelap
akan hinggap di gorden presidenan
dan buku programma gedung kesenian.

Orang-orang miskin berbaris sepanjang sejarah,
bagai udara panas yang
selalu ada,
bagai gerimis yang selalu membayang.
Orang-orang miskin mengangkat pisau-pisau
tertuju ke dada kita
atau ke dada mereka sendiri.

O, kenangkanlah
orang-orang miskin
juga berasal dari khemah Ibrahim..

(Djogja, 4 Februari 1978, Potret Pembangunan Dalam Puisi)

Saya akrab dengan sajak ini sejak akhir 1978 ketika menjadi murid kepada penyair Abdul Aziz HM. Abdul Aziz ialah bekas pelajar Rendra ketika dia menuntut jurusan falsafah di Universitas Gadjah Mada, Indonesia.

Abdul Aziz HM juga melahirkan kumpulan sajak Kopratasa yang diterbitkan Dewan Bahasa Pustaka. Dua sajaknya, Akhir Disember dan Permata (Untuk Isteri) dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa.

Dia mempelopori teater minikata yang dipelajari ketika berguru di Bengkel Teater Rendra.

Penggunaan nama Kopratasa oleh Sani Sudin, Usop dan Siso dipetik daripada karya Abdul Aziz yang melahirkan empat sajak; Kopratasa, Kopratasa II, Kopratasa III dan Kopratasa IV. Kopratasa adalah bahasa Sanskrit yang bermaksud "salam sejahtera".

Abdul Aziz memperkenalkan falsafah dan pengkaryaan Rendra yang tidak jemu bercakap tentang perjuangan orang bawahan. Orang bawahan selalu dianggap jijik oleh sesetengah pihak.  

Sajak Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta dan Blues Untuk Bonnie adalah kisah tentang fenomena kemiskinan rakyat bawahan yang dipandang jijik oleh golongan 'yang lebih bernasib baik'.

Sajak Orang Miskin dianggap sebagai pelengkap Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta dan Blues Untuk Bonnie.

Orang miskin dalam konteks Malaysia dikaitkan golongan B40 (bottom 40 percent).  Pendapatan bulanan kumpulan B40 kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu kurang daripada RM2,208 sebulan.

Justeru kemiskinan, tentunya cara hidup dan budaya harian B40 berbeza daripada golongan M40 (middle 40 percent) yang berpendapatan di antara RM4,850 sehingga RM10,959 sebulan, apatah lagi kumpulan T20 (top 20 percent) berpendapatan 20 peratus tertinggi sebanyak RM10,959 ke atas dan merupakan penggerak ekonomi dan majikan golongan B40 dan M40.

Data menunjukkan majoriti rakyat Malaysia adalah golongan miskin. Seramai 26.8 juta daripada 32 juta rakyat negara ini tergolong dalam kategori itu.

Jika kemiskinan dianggap kesalahan dan menjijikkan, di kiri dan kanan kita adalah golongan yang tidak boleh diharapkan untuk kehidupan yang lebih baik.

Anak, cucu dan cicit orang miskin akan berada di mana-mana. Di desa atau kota, kemiskinan akan menggila seperti ditegaskan oleh Rendra. Protokol dan hukum  ditegakkan oleh T20 untuk memastikan kelangsungan mereka dipertahankan.

Menjadi bangsawan baru

Golongan cerdik pandai, intelektual, profesor dan sarjana sering mengaitkan kemiskinan sebagai penyakit. Rakyat yang miskin juga dikaitkan dengan amalan mengabaikan pendidikan serta leka berfoya-foya.

Kapitalisme pula melihat kemiskinan sebagai peluang mengaut keuntungan.

Ketika Revolusi Industri dan Revolusi Perancis, kalangan miskin menjadi alat kepada kapitalis untuk menghalalkan tindakan mereka meruntuhkan kekuasaan feudal yang dikaitkan perhambaan. Dinasti dan istana runtuh. Kapitalis menjadi tuan baru yang dikaitkan korporat.

Rakyat bawahan yang miskin - dengan taraf hidup mereka yang rendah - akan tetap menjadi alat atau jentera kepada penguasa yang khianat.

Sehingga ke abad 21 dunia gagal membanteras kemiskinan kerana kemiskinan adalah peluang untuk kapitalis menambahkan kekayaan.

Ia berkembang bersama sekutunya yang disebut politikus. Mereka membentuk kroni bersama orang politik untuk mentadbir dunia ketiga dengan rakus.

Mereka menjadi bangsawan baru dengan istana kekuasaan yang lebih agam.

Orang miskin akan kekal sebagai buruh untuk membantu orang politik dan kroni niaga mencapai keuntungan maksimum. Dari segi politik pula, kemiskinan adalah peluang pihak yang yang berkuasa mengekalkan kekuasaan.

Program pembangunan dan bantuan rakyat diperkenal untuk mengikat sokongan kepada pemerintah. Budaya mengharap kalangan bawahan akhirnya mencipta tradisi bodek menerusi peti undi yang kononnya demokratik.

Pemerintah pula menggunakan hukum dan akta untuk membantu golongan sendiri mencipta keuntungan bilion ringgit. Marhaen akan kekal miskin. Rendra merumuskan kemiskinan sebagai pemberontakan sehingga tumbang Order Baru pimpinan Suharto pada 1998.

Bergerak menyusun kekuatan

Orang bawahan akan kekal memberontak kerana pemberontakan adalah peluang terakhir untuk hidup, atau - jika tidak - terpaksa mengalah. Perubahan besar dalam pertanian, pembuatan dan pengangkutan dalam Revolusi Perindustrian pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 memberi kesan yang besar kepada sosioekonomi dan kebudayaan di Britain.

Perubahan ini seterusnya merebak ke seluruh Eropah dan Amerika Utara sebelum melebar ke serata dunia melalui proses yang dikenali sebagai perindustrian. Revolusi Perindustrian merupakan satu titik perubahan penting dalam sejarah manusia, sama seperti penemuan perladangan atau kebangkitan negara kota.

Peladang British menjadi pedagang antarabangsa dengan menyediakan makanan yang cukup.  Tenaga buruh banyak, pemilik tanah menjadi penguasaha ladang dan  peningkatan perdagangan antarabangsa.  

Kaum buruh yang diperlakukan tidak adil oleh pengusaha mulai bergerak menyusun kekuatan untuk memperbaiki nasib. Mereka kemudian membentuk organisasi yang lazim disebut gerakan sosialisme didorong pemikiran Thomas Marus yang menulis buku Utopia. Tokoh yang paling popular dalam penggerakan pemikiran ini adalah Karl Marx dengan bukunya Das Kapital.

Pengusaha atau kapitalis umumnya mempunyai pengaruh yang kuat dalam pemerintahan untuk melakukan imperialisme demi kelangsungan industrialisasinya. Dengan demikian, lahirlah imperialisme moden, iaitu perluasan daerah sebagai tempat pemasaran hasil industri, mencari bahan mentah, penanaman modal yang surplus, dan tempat mendapatkan tenaga buruh yang murah.

Dalam hal ini, England yang menjadi pelopornya.

Revolusi Perancis 1789–1799 adalah era sosial radikal dan pergolakan politik. Kesannya melata ke seluruh dunia apabila perhambaan tumbang dan sistem monarki feudal runtuh.

Mengharap naungan atasan

Bagaimanapun sejarah tidak aman kerana seperti kata Rendra tumbangnya satu rejim akan melahirkan rejim diktator lain. Hari ini diktator bukannya rejim tentera feudal yang dilengkapi senjata tapi kalangan korporat, kapitalis yang bersekutu dengan politikus yang membentuk kronisme moden.

Mereka berada di atas undang-undang kerana sistem hukum dicipta untuk kepentingan mereka. Ada orang yang sudah dijatuhi hukuman bebas ke mana sahaja termasuk bermain golf di luar negara kerana wujudnya sistem yang membebaskan mereka.

Walaupun sudah menyamun bilion ringgit, ada yang tergamak memanggil 'bos' semata-mata nilai jenayah yang dilakukan.

Bagi orang bawahan yang mengharapkan naungan atasan, mereka sanggup membisu apabila balak ditebang, pulau dijadikan tanah kesulatanan.

Gara-gara kemiskinan, sistem kasta yang sudah lama dibanteras oleh Mahatma Ghandi seakan-akan wujud semula.

Rakyat bawahan akan kekal dalam sistem perhambaan moden. Kemiskinan, putus asa dan rendah diri akan menjadi barah dalam masyarakat.

Sarjana, profesor, cendekiawan dan cendawan sepatutnya membantu membentuk peradaban, bukan mencemuh.

Seperti kata Rendra: Mereka tak bisa kamu biarkan./Jumlah mereka tak bisa kamu mistik menjadi nol./Mereka akan menjadi pertanyaan yang mencegat ideologimu.


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan dan sasterawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.