Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes PM saman portal: Agenda Daily dakwa laksana kewartawanan bertanggungjawab

Pemilik Agenda Daily Media Enterprise Muhamad Izwan Mohd Zubit mendakwa, beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhamad Izwan,37, selaku defendan memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi, minggu lepas menerusi Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers.

Berdasarkan pernyataan pembelaan, Muhamad Izwan menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Ismail Sabri, selaku plaintif dalam kes saman itu.

“Artikel tersebut merupakan suatu ulasan dan analisis politik yang adil dan berjustifikasi. Sekiranya plaintif (Ismail Sabri) tidak bersetuju dengan ulasan dan analisis tersebut, pada bila-bila masa, plaintif selaku seorang perdana menteri dan ahli politik ternama, sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk menjawab dan menangkis semula ulasan serta analisis itu,” dakwanya.

Defendan yang merupakan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi, mendakwa perkataan ‘rayu’ dan ‘merayu’ bukan satu konotasi negatif atau hina dalam politik, sebaliknya melambangkan kerendahan budi dan kebesaran jiwa seseorang ahli politik semasa merayu sokongan terhadapnya.

“Perkataan ‘rayu dan ‘merayu’ digunakan secara meluas dalam aktiviti politik. Contohnya ‘perayu undi’ merupakan gelaran biasa yang digunakan setiap kali pilihan raya, di mana perayu-perayu undi akan turun bertemu dengan rakyat bagi merayu undi terhadap calon pilihannya,” dakwa defendan yang telah berkhidmat sebagai wartawan, pemberita, editor dan penterjemah sejak 2008.

Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

Pada 18 Feb, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Jan lepas, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri, 62, mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel tersebut, boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif.

- Bernama