Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersaing untuk no 2 parti bukan memulakan sengketa - Saifuddin

Calon Timbalan Presiden PKR Saifuddin Nasution Ismail menegaskan persaingan merebut jawatan nombor dua dalam parti itu tidak wajar dilihat sebagai langkah memulakan sengketa.

Jelasnya, memang tidak dinafikan sama sekali anggota parti khususnya masih dibayangi oleh kesan peristiwa pemilihan sebelum ini yang menyaksikan berlakunya amalan berpuak-puak dalam PKR.

Ia kemudian diikuti pula dengan episod "pengkhianatan" apabila ada sebahagian daripada mereka berpaling tadah dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kata Saifuddin di sebalik tindakan pihak terbabit, masih ada ramai yang kekal bersama PKR.

"Saya mahu anggota parti mengambil mesej bahawa pemilihan tidak semestinya sekadar mengulangi peristiwa lepas. Kita boleh untuk kembali (ke suasana persaingan untuk ) letakkan tujuan pemilihan.

"Kalaulah pemilihan itu membawa kebinasaan, mustahil kami yang mengasaskan parti ini memasukkan peruntukan agar setiap tiga tahun ahli mesti memilih.

"Kalau kita dah tahu itu mudarat kenapa mesti kita masukkan dalam fasal perlembagaan? Logiknya (untuk menganggap pemilihan membawa persengketaan) tidak ada," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Tambah bekas menteri itu, sesetengah orang selalu memberi gambaran bahawa pemilihan akan membawa perpecahan.

Ambil kira banyak pandangan

Apa yang berlaku, katanya, ialah proses memilih seseorang untuk mengisi pelbagai jawatan dalam parti dan ada banyak persaingan tetapi tumpuan terbesar diberi kepada kedudukan timbalan presiden.

Justeru menurut ahli parlimen Kulim-Badar Baru itu mesej yang disampaikannya itu ditujukan kepada ahli parti yang akan membuat pilihan tidak lama lagi.

Terdahulu ketika hadir ke mesyuarat agung Wanita dan Pemuda PKR (AMK) Kelantan, Saifuddin mengumumkan secara rasmi penyertaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan akan datang.

Dia bakal berdepan dengan Rafizi Ramli yang telah pun secara rasmi mengumumkan akan bertanding sebelum ini.

Mengulas lanjut Setiausaha Agung PKR itu berkata dia memberikan mesej kepada anggota-anggota parti untuk memberi pertimbangan terhadap alasan dan tawaran yang dikemukakannya.

"Anggota parti masih lagi diigau dengan kebimbangan, sebab itu hari ini mesej saya pertamanya kalau nantinya menyaksikan saya dan rakan saya Rafizi (bersaing).

"Sebab itu saya berkongsi kekuatan yang ada pada diri dan peribadinya, kemudian saya minta anggota parti memberikan pertimbangan terhadap alasan-alasan dan tawaran yang saya bawa.

"Jadi dalam suasana sekarang dalam ucapan mengumuman saya tadi secara datang dari (hati) saya mengenali Rafizi lama dan berpeluang bekerjasama dengannya," kata Saifuddin.

Ditanya apakah signifikan mengumum bertanding jawatan itu dibuat di Kelantan, dia antara lain menyifatkan keputusan diambil selepas mengambil kira banyak pandangan dan melakukan isktikarah.

"Kebetulan esok malam kita dah terawih Ramadan, jadi Ramadan antara pengajaran penting pada saya adalah kesabaran, pergorbanan dan sebagainya.

"Jadi saya fikir selama 23 tahun signifikannya Kelantan adalah saya pernah menjadi ahli parlimen di sini, saya pernah berkhidmat di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Saya fikir saya nak balik kepada root (asas) yang mula-mula menghantar saya ke parlimen adalah daripada Kelantan," katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota parlimen Machang.