Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Luluskan dulu RUU antilompat parti, betul kelemahan kemudian' - MP

Ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menjawab kebimbangan mengenai undang-undang antilompat yang dirancang oleh kerajaan.

Menurut para penggubal undang-undang ini keutamaan sekarang tertumpu terhadap usaha mendapat kelulusan pindaan perlembagaan terlebih dahulu sebelum cuba menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul kemudian.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata amat penting untuk mempunyai undang-undang yang boleh menghentikan lompat parti sebelum pilihan raya umum akan datang daripada mendapatkan satu peraturan yang "serta-merta terus menjadi sempurna."

“Apa yang paling penting ialah kita harus mendapatkan undang-undang anti-lompat itu digubal terlebih dahulu dan menambah baiknya kemudian.

"Sepanjang proses penggubalan itu nanti, apabila kami mendapati beberapa kelemahan, kami boleh memperbaiki apa sahaja yang kami perlukan.

"(Tetapi) sebelum pilihan raya umum akan datang, kami mahu sesuatu yang boleh menghentikan lompatan ini," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia memberi maklum balas terhadap kenyataan peguam New Sin Yew pada 30 Mac yang mendakwa rang undang-undang antilompat kerajaan menyekat demokrasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata undang-undang itu akan secara automatik mencetuskan pilihan raya kecil jika ahli parlimen dipecat atau meninggalkan parti mereka, atau jika ahli parlimen yang menang sebagai calon bebas menyertai parti.

Dia juga memberitahu Dewan Negara bahawa ahli parlimen yang kerusinya dikosongkan melalui undang-undang, bagaimanapun, akan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Ini berbeza dengan sistem semasa yang memperuntukkan ahli parlimen hilang kelayakan tidak boleh bertanding selama lima tahun.

Pun begitu, Sin Yew mendakwa tiada jalan lain untuk pengundi jika seluruh parti menukar sokongan manakala ahli parlimen atau Adun akan mendapati sukar untuk mereka menentang keputusan parti kerana bimbang kehilangan kerusi.

Menurut Nazri, fokusnya terhadap ahli parlimen individu yang melompat parti dan bukan penukaran keseluruhan pendirian sesuatu parti untuk mengubah sokongan.

"Kerana parti akan menentukan dasar mereka, tetapi individu tidak boleh melompat," katanya.

Nazri juga berkata kerusi yang dimenangi ketika pilihan raya adalah milik parti dan seorang wakil rakyat tidak boleh mengambil kerusi itu daripada parti jika mereka dipecat.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP untuk Kota Kinabalu Chan Foong Hin (gambar, atas) juga bersetuju dengan Nazri mengenai keutamaan meluluskan pindaan perlembagaan yang akan menghalang lompat parti terlebih dahulu.

“Versi yang dicadangkan ini adalah versi terbaik buat masa ini selepas beberapa pusingan proses libat urus, jadi saya fikir kita harus menyokong cadangan pindaan perlembagaan ini terlebih dahulu sebelum kita bercakap tentang sebarang kelemahan.

"Oleh kerana kita boleh memperbaikinya dari semasa ke semasa, tetapi kerana ia bukan mudah untuk membentangkan undang-undang sedemikian, maka kita mesti menyokongnya terlebih dahulu," katanya.

Walaupun difahamkan terdapat beberapa pegawai di Jabatan Peguam Negara (AGC) yang tidak bersetuju dengan cadangan pindaan itu kerana pendapat undang-undang mereka, namun Chan berkata perkara yang lebih mendesak ialah memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem demokrasi.

‘Pilihan raya banyak kali’

“Adalah sangat penting untuk mempunyai undang-undang ini supaya kita boleh memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem parlimen kita sekarang, untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pilihan raya dan pengundian.

"Jadi, dalam isu ini kita perlu mengambil pendekatan mengatur satu demi satu langkah," kata Chan.

Dia juga ragu terhadap mekanisme pilihan raya semula, yang sering didesak oleh masyarakat sivil sebagai langkah menghalang lompat parti.

Menurut Chan, pemilihan semula akan memaksa orang ramai menjalani "pilihan raya banyak kali."

Ini kerana pengundi perlu mengadakan petisyen sama ada mereka mahu mengadakan pilihan raya kecil jika wakil rakyat mereka dipecat atau keluar parti.

Selepas itu, barulah mereka dapat mengadakan pilihan raya kecil dengan sokongan yang mencukupi daripada pengundi di sesuatu kawasan.

Sebaliknya, Chan berkata dia berpuas hati dengan cadangan pindaan semasa kerana katanya ia tidak melarang lompat parti tetapi tindakan sedemikian akan tertakluk kepada penilaian rakyat.

“(Sebagai contoh) jika anda melompat tetapi rakyat kawasan anda fikir anda telah melakukan perkara yang betul, maka… biarlah penilaian dibuat oleh rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Subang PKR Wong Chen (gambar, atas) berkata secara realistik, semua orang harus bersikap sederhana untuk meluluskan pindaan perlembagaan.

Wong berada dalam jawatankuasa yang mengadakan sesi perbincangan mengenai cadangan pindaan dengan Wan Junaidi.

“Rundingan berjalan lancar. Kami menyatakan pendirian kami, walaupun tidak semua yang kami minta dapat.

“Realiti politik adalah semua orang perlu bersikap memberi dan menerima yang sederhana bagi mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan persekutuan,” katanya.

Kerajaan dijadual membentangkan pindaan perlembagaan berkaitan rang undang-undang antilompat parti semasa sidang khas parlimen pada 11 April.

[Baca berita asal]