Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Young Syefura: Gangguan seksual cabaran terbesar buat wanita

WAWANCARA | Ketika Young Syefura Othman masuk politik lapan tahun lalu, dia langsung tidak menyangka gangguan seksual akan menjadi kelaziman yang perlu dihadapinya.

“Sejak saya dikenali ketika himpunan Bersih sehinggalah sekarang.

“Gangguan seksual tak pernah berhenti, saya hadapi sehingga hari ini,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Young Syefura berkata semua ahli politik wanita di Malaysia berdepan gangguan yang sama, yang boleh datang melalui pelbagai bentuk. Bagi dia sendiri, ada yang sentiasa memberi komen berkenaan pakaian dan badannya.

Malah katanya lagi, ada yang meninggalkan komen dengan menceritakan fantasi mereka yang bernada lucah.

“Gambar saya sendiri diedit dengan gambar orang lain, tubuh lain, kemudian saya sendiri terima gambar-gambar tak senonoh,” katanya lagi.

“Selalunya gangguan menerusi komen. Ada kala mereka terus kata ‘nak romen’, nak buat sesuatu yang tak baik.

“Saya rasa perkara ini sangat memalukan, lagi-lagi ada di kalangan mereka yang sudah berkeluarga, beristeri, ada anak,” katanya.

Walaupun kebanyakan gangguan itu datang daripada orang tak dikenali dan menerusi media sosial, dia berkata pernah mengalami gangguan daripada ahli politik - ada yang berusia lebih kurang sama dengan bapanya sendiri.

“Malah ketika sidang DUN (Pahang)...orang-orang lama ini suka guna ayat-ayat (kiasan) yang kita sendiri faham maksud mereka.

“Sebagai wakil rakyat yang lama, mereka tak sepatutnya mengeluarkan kata-kata seperti itu,” katanya yang menjadi Adun Ketari pada 2018.

“Kita boleh tengok siaran langsung Dewan Rakyat dan lihat bagaimana orang-orang lama guna bahasa yang tidak sesuai. Ini dapat dilihat oleh masyarakat umum,” katanya lagi.

Di sebalik pelbagai halangan sebagai seorang ahli politik wanita, Young Syefura baru-baru ini menunjukkan pencapaian yang baik dalam partinya iaitu DAP - dia menang sebagai timbalan ketua pemuda, ahli jawatankuasa wanita dan ahli jawatankuasa pusat.

Dia menjadi wanita kedua yang memegang jawatan timbalan ketua pemuda selepas Jenice Lee pada 2012.

‘Wanita nak masuk politik kena kuat’

Mengulas lanjut, dia berkata gangguan seksual yang diterima begitu teruk sehingga dia pernah menimbang untuk meninggalkan politik.

Namun, katanya, sokongan yang diberikan pimpinan dan anggota parti membuatkan dia terus kekal sehingga kini.

Dia berkata wanita yang mempunyai cita-cita politik perlu bersedia untuk menangani prejudis dan gangguan seksual oleh kalangan lelaki yang merasakan wanita tidak mampu memimpin.

“Saya berharap wanita muda di luar sana yang mahu menyertai politik agar kuat semangat, kuat dari segi fizikal dan mental. Ini kerana setiap hari ada saja cemuhan dan ayat seksis (terhadap mereka).”

Dia berkata kerajaan perlu memandang serius dan mempercepatkan proses pewartaan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang tertangguh sejak sekian lama.

Dibentang pada Disember lalu, RUU itu bertujuan menubuhkan tribunal khusus bagi menangani laporan gangguan seksual. Ia belum diluluskan pada sidang Dewan Rakyat terbaru, yang berakhir 24 Mac lalu.

“Masyarakat perlu dididik dalam soal ini. Dalam kes saya, ada orang tua yang bagi komen, ada juga remaja yang terlalu muda, baru belasan tahun.

“Kita kena fikir bagaimana nak tingkatkan moral di negara ini, supaya kita hormat menghormati antara satu sama lain.

“Apa yang paling penting, ahli politik sendiri perlu mainkan peranan. Kalau dalam dewan pun mereka tak tahu kawal diri dan buat gangguan seksual, (komen) seksis, bagaimana nak jaga masyarakat di luar?” soalnya.

[Baca laporan asal]