Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu MySejahjtera: 'KKM perlu beri jaminan data peribadi tak tergadai'

Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memberi jaminan bahawa semua data peribadi rakyat Malaysia yang terdapat di aplikasi MySejahtera tidak akan sesekali tergadai dan disalah guna atau dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata jaminan itu harus dibuktikan melalui tindakan konkrit oleh pihak KKM dan kerajaan dengan menutup segala ruang yang boleh membawa kepada kebocoran data peribadi itu.

“Kerajaan membangunkan aplikasi MySejahtera untuk mengekang penularan Covid-19, tetapi jika keselamatan data rakyat menjadi taruhan, sudah tentu ia amat mendukacitakan.

“Jangan jadi seperti data dan nombor telefon bimbit kita iaitu ada jaminan daripada syarikat Telco dan kerajaan bahawa data ini dilindungi, tetapi hari ini hakikatnya kita diganggu dan dihubungi para scammer (penipu). KKM perlu mengambil iktibar daripada hal ini,” katanya ketika membentangkan usul berkaitan aplikasi MySejahtera di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu selepas sesi soal jawab, Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim membenarkan usul dibawa Muhammad Zahid dibahaskan selepas memenuhi tiga syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

Muhammad Zahid berkata terdapat pelbagai kebimbangan dibangkitkan berkenaan aplikasi MySejahtera itu antaranya server yang berpangkalan di Singapura, individu di belakang syarikat yang mengendalikan aplikasi itu serta kos pengambilan pengurusan MySejahtera yang didakwa berjuta ringgit.

“Ada yang bertanya kenapa syarikat swasta MySJ Sdn Bhd yang menguruskan aplikasi ini tidak melalui tender terbuka dan ukuran apa yang digunakan dalam memilih syarikat itu.

“Ada juga yang pelik bagaimana beberapa individu penting dalam syarikat terdahulu KPISoft Sdn Bhd boleh berada dalam MySJ Sdn Bhd. Ertinya muka yang sama ada di syarikat baharu, seolah-olah tukar baju sedangkan tubuh yang sama memakai baju baharu,” katanya.

Justeru beliau menuntut jawapan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan kerajaan untuk merungkai kebimbangan, persoalan dan kekeliruan berkenaan aplikasi MySejahtera kerana KKM sebagai kementerian yang penting tidak sepatutnya terpalit dengan apa jua kontroversi.

Penjelasan daripada KKM juga boleh menolak eksploitasi pihak tertentu dalam menggunakan isu MySejahtera sebagai modal politik yang menjaja cerita demi meraih undi dan kepentingan politik.

“Idea mengemukakan usul ini timbul apabila speaker (Rais) sendiri menzahirkan rasa resah dan gelisah dengan kebimbangan terhadap data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera yang berkemungkinan terdedah, disalah guna dan dimanipulasi pihak tertentu.

“Kita sendiri juga dan rakyat terkesan dengan kebimbangan ini dan harapan kita di akhir perbahasan singkat ini segala kekusutan, kekeliruan, persoalan dan kebimbangan dapat dirungkai oleh menteri,” katanya.

- Bernama