Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ambrin keberatan bincang audit 1MDB - bekas AG Madinah

Bekas ketua audit negara Madinah Mohamad memberi keterangan bahawa pendahulunya, Ambrin Buang keberatan untuk berkongsi dengannya berhubung pendapatnya mengenai isu 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-12 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa ini berlaku semasa dia berjumpa dengan Ambrin (atas) di pejabatnya selepas dilantik sebagai ketua audit negara pada 2017.

Madinah memberi keterangan semasa perbicaraan laporan audit 1MDB hari ini yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO firma dana pelaburan negara itu, Arul Kanda Kandasamy.

Semalam, dalam keterangannya, Madinah berkata dia terkejut apabila dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) Nor Salwani Muhammad mengenai arahan untuk meminda laporan audit 1MDB serta memusnahkan salinan asal laporan berkenaan.

Madinah juga sebelum ini memberi keterangan bahawa dia menyimpan salinan asal laporan audit 1MDB dengan menguncikannya sehingga pentadbiran persekutuan Pakatan Harapan pada 2018.

Pada 2019, semasa perbicaraan kes itu, saksi pendakwaan kelima Nor Salwani memberi keterangan bahawa dia secara rahsia menyimpan salah satu salinan asal laporan audit 1DMB, yang disediakan oleh JAN pada 2016.

Pegawai JAN, termasuk Nor Salwani, di bawah ketua audit negara ketika itu Ambrin menjalankan audit 1MDB antara 2015 dan 2016. Madinah mengambil alih jawatan itu pada awal 2017.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, dia mendakwa Ambrin keberatan untuk membincangkan isu audit 1MDB dan hanya meminta Madinah membaca laporan audit rasmi yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Pihak pendakwaan mengandaikan bahawa laporan audit 1MDB yang dibentangkan kepada PAC adalah yang telah dipinda secara tidak sah.

Madinah hari ini memberi keterangan bahawa dia dan Ambrin sangat prihatin dengan dakwaan berkaitan laporan audit 1MDB yang dibincangkan secara meluas di seluruh dunia tetapi cuba disenyapkan di Malaysia.

Dia merujuk kepada khabar angin yang tersebar di seluruh dunia berhubung penglibatan perdana menteri ketika itu dengan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Dengan laporan ketua audit negara dalam simpanan saya dan isu mengenai 1MDB, kami kakitangan awam dimaklumkan supaya berhati-hati dalam isu ini, dan memilih untuk tidak menyebut atau bercakap mengenainya.

“Ia seperti satu persefahaman di kalangan kami untuk tidak bercakap mengenainya dan laporan audit (asal) ini ada dalam simpanan saya.

“Saya tanya dia (Ambrin) apa ada dalam laporan itu, sama ada dia boleh beritahu saya, terutamanya mengenai PM (ketika itu Najib Razak) dan penglibatannya dalam 1MDB, begitu cara saya bawa perkara itu.

"Saya mahu dengar daripadanya semasa dia menjalankan audit 1MDB tetapi dia keberatan dan berkata dia tidak boleh mengesahkan dan saya kemudian tinggalkan isu itu begitu sahaja," kata Madinah.

Katanya, pertemuannya dengan Ambrin ketika itu adalah perjumpaan antara ketua audit negara yang baru dilantik dengan bekas ketua audit negara kerana tidak ada upacara penyerahan rasmi. Malah kata Madinah, dia ingin dengar sendiri daripada Ambrin sama ada dia mempunyai sebarang mandat atau nasihat kepadanya mengenai isu atau perkara yang dia tidak dapat selesaikan tetapi mungkin mahu dia selesaikan.

Shafee kemudian memberitahunya bahawa perkara yang dikatakannya tidak relevan.

“Ia topik hangat yang diperkatakan oleh semua orang, mereka kata Jabatan Audit Negara jalankan audit 1MDB, (orang tanya saya) apa yang berlaku, apa yang kamu jumpa, soalan-soalan itu diajukan dari semasa ke semasa. Ia dikemukakan kepada saya sebagai (ketika itu) ketua audit negara yang baru.

"Saya ingin fahami dan dengar sendiri daripada Ambrin sebagai bekas ketua audit negara yang menjalankan audit, apa pemikirannya mengenai 1MDB," kata Madinah.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak membangkitkan perkara itu lagi kepada Ambrin kemudiannya selepas dimaklumkan oleh Nor Salwani mengenai dakwaan arahan supaya meminda laporan audit 1MDB dan memusnahkan laporan asal.

Katanya, perkara itu tidak dibangkitkan dengan Ambrin lagi kerana dia tidak pasti sama ada dia boleh mendapatkan jawapan yang sepatutnya daripadanya atau tidak.

Di sebalik asakan bertubi-tubi oleh Shafee, Madinah bertegas dia meletakkan kepercayaannya terhadap pendedahan oleh Nor Salwani dan dua lagi pegawai JAN, Nadhirah Abdul Wahab dan Farizah Harman - berhubung dakwaan arahan untuk meminda laporan audit 1MDB dan memusnahkan laporan asal.

Shafee: Saya katakan bahawa kamu tidak bertindak adil dengan tidak membawa perkara itu kepada PM Najib ketika kamu ambil alih jawatan (ketua audit negara) dan pada Mac 2017, kamu tidak cukup jujur kerana tidak membangkitkannya?

Madinah: Tidak betul.

Shafee: Kamu tidak berdepan dengan PM (Najib) kerana kamu sedari bahawa dia (Najib) adalah relevan dengan tempoh kamu sebagai ketua audit negara, kamu mendapatnya (jawatan) daripadanya kamu tidak membangkitkannya (mengenai kebimbangan terhadap laporan audit 1MDB) untuk melindungi tempoh perkhidmatan kamu.

Madinah: Tidak betul.

Shafee: Kamu berjumpa Dr Mahathir (Mohamad, perdana menteri ketika itu pada 2018) kerana kamu sedari bahawa semua orang akan kena “pecat” (mereka yang didakwa disingkirkan daripada jawatan berikutan kemenangan pilihan raya PH).

Kamu hanya mahu jaga jawatan dan menjadi seperti "Salwani" untuk memihak kepada PM (Mahathir) ketika itu.

Madinah: Saya tidak bersetuju.

Dia bagaimanapun bersetuju dengan hujah Shafee bahawa susulan taklimatnya kepada kabinet PH pada 23 Nov 2018, bahawa Najib telah dihadapkan ke mahkamah pada bulan seterusnya untuk didakwa atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Madinah merujuk kepada taklimatnya kepada kabinet PH ketika dia membangkitkan kebimbangannya mengenai laporan audit 1MDB.

Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan ditetapkan untuk disambung semula pagi esok.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan beberapa pindaan ke atas laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Tertuduh bersama Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesahan itu.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan diputuskan semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.

Adalah didakwa bahawa pindaan ini dilakukan untuk mengeluarkan atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) pada mesyuarat lembaga pengarah dana pelaburan negara itu.

Isu lain yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB ialah dua penyata kewangan 2014 yang bercanggah bagi firma tersebut.

Selain Ali dan Arul Kanda, mereka yang hadir pada mesyuarat itu ialah Ambrin, bekas pegawai NAD, Saadatul Nafisah Ahmad Bashir, bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh, dan wakil peguam negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.

Pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu bagaimanapun menegaskan bahawa tiada salah laku dalam pindaan laporan audit 1MDB kerana ia dilakukan ke atas salinan laporan yang didakwa belum dimuktamadkan sebelum ini dibentangkan kepada PAC pada Mac 2016.

[Baca berita penuh]