Rafizi - Najib bertelagah mengenai kewangan Sapura, gaji tinggi bekas CEO
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sekali lagi bertelagah dengan bekas perdana menteri Najib Razak mengenai kemelut kewangan Sapura Energy hari ini, dengan tumpuan kepada gaji lumayan yang dinikmati oleh bekas CEO firma itu.
Dalam satu kenyataan, Rafizi berkata Najib, sebagai perdana menteri, gagal menjaga kepentingan institusi awam - Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) - sebagai pemegang saham dalam Sapura Energy.
Meneliti rekod kewangan Sapura Energy, Rafizi berkata bahawa seorang "pengarah eksekutif" yang mewakili pemegang saham majoriti telah meraih hampir RM1.1 bilion dari 2009 hingga 2021 dalam bentuk gaji, bonus, sewa, yuran harta intelek dan bentuk imbuhan lain.
Ini dipercayai merujuk kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Shahril Shamsuddin yang adalah pemegang saham terbesar Sapura Energy, dan gajinya yang tinggi telah lama menjadi pertikaian.
Shahril pada 2018 menjelaskan bahawa gajinya yang tinggi adalah disebabkan oleh perjanjian saham yang dimilikinya dengan institusi kewangan apabila kumpulan itu membiayai semula pinjaman RM14 bilion.
Perjanjian itu menetapkan bahawa pinjaman itu akan mungkir jika dia menjual sahamnya di bawah 10 peratus, atau meletak jawatan sebagai CEO.
Dia juga berkata gajinya ditentukan oleh lembaga bebas kumpulan itu dan dia tidak meminta gaji yang tinggi.
Sementara itu, selain RM1.1 bilion berkenaan, Rafizi berkata eksekutif tertinggifirma tersebut turut menerima 35 peratus daripada RM683 juta dividen yang dibayar kepada pemegang saham, menjadikan jumlah keseluruhannya sekitar RM1.33 bilion.
Sebagai perbandingan, dia berkata pemegang saham lain seperti PNB dan KWAP hanya menerima RM440 juta dividen secara keseluruhan.
Nisbah keuntungan yang diambil oleh pemegang saham terbesar berbanding institusi awam, kata Rafizi, adalah sekitar tiga kali ganda - yang disifatkannya sebagai tidak adil kepada KWAP dan PNB.
Dia berkata 90 peratus (RM983 juta) daripada bayaran RM1.1 bilion kepada pengarah eksekutif tersebut dibayar semasa Najib menjadi perdana menteri dari 2009 hingga 2018.
“Semua ini berlaku semasa Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.
“Sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.
“Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?” soalnya.
Rafizi berkata ini jelas menunjukkan Najib seorang hiprokasi dan hanya mengambil kesempatan dalam semua isu kononnya untuk menjadi ‘ter-paling wira rakyat’ demi menyelamatkan dirinya yang sudah dijatuhkan hukuman penjara.
Anak syarikat konglomerat Kumpulan Sapura, Sapura Energy telah mengalami kerugian sejak 2019. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, Sapura Energy mencatatkan kerugian RM8.9 bilion.
Tiga daripada anak syarikat Sapura Energy telah menerima petisyen penggulungan awal bulan ini.
Najib sebelum ini berhujah bahawa membenarkan Sapura Energy muflis akan menyebabkan kerugian RM4 bilion kepada PNB, dan juga bank-bank tempatan yang mempunyai pendedahan dengan firma itu.
Justeru, bekas perdana menteri itu berkata kerajaan perlu mengambil langkah untuk menyelamatkan Sapura Energy sama ada melalui pinjaman mudah atau pengambilalihan Petronas.
Rafizi berkata ini adalah contoh ekonomi songsang oleh Najib.
Menjawab kenyataan calon timbalan presiden PKR itu, hari ini, Najib berkata dia menjangkakan Rafizi akan menjadikan gaji tinggi Shahril sebagai isu sejak minggu lepas.
Dalam jawapannya, ahli parlimen Pekan itu berkata dia tidak menyuarakan mengenai gaji bekas CEO itu sebelum 2019 kerana Sapura Energy adalah sebuah syarikat swasta ketika itu.
“Syarikat tersebut adalah syarikat swasta yang juga dibina dan dimilik CEO tersebut untuk menjadi syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar dalam dunia.
“Ia bukan GLC dan tidak di bawah pengawasan dan pengawalan saya semasa saya perdana menteri.
“Syarikat swasta yang bayar, pemegang saham dan lembaga pengarah swasta yang luluskan gaji dan pampasan bagi pengurusannya.
“Dia nak dibayar RM1 bilion setahun pun bukan masalah kerajaan selagi pemegang-pemegang saham dan lembaga pengarah Sapura izinkan,” katanya.
Najib seterusnya menyoal balas Rafizi dan melontarkan soalan mengapa pemimpin PKR itu mendiamkan diri apabila Mokhzani Mahathir menjual sahamnya dalam Sapura Energy untuk mendapatkan antara RM 3 hingga 4 bilion antara 2015 dan 2017.
Dia turut menyoal mengapa Rafizi dan Pakatan Harapan berdiam diri apabila kerajaan PH menyuntik RM2.7 bilion ke dalam Sapura Energy pada 2019 untuk menjadi pemegang saham terbesar dengan 40 peratus kepentingan walaupun mereka tahu mengenai gaji Shahril yang dikatakan agak tinggi itu.
“Yang bail-out, korang. Tapi kamu bisu masa itu,” katanya.
PNB pada 2018 mengambil saham yang tidak dilanggan dalam Sapura Energy sehingga pegangannya dalam syarikat itu meningkat kepada 40 peratus daripada 12.16 peratus - menjadikannya pemegang saham terbesar dan Sapura Energy pula sebagai sebuah GLC.
Ini dilakukan dengan tujuan untuk memastikan Sapura Energy - yang sudah dibelenggu hutang pada masa itu - mampu bertahan.
Sementara itu, Najib berkata serangan Rafizi terhadapnya menunjukkan bagaimana dia dan PH hanya cenderung untuk mencari kesalahan dan bukannya mencari penyelesaian.
“Saya nak selesaikan masalah tapi Rafizi pula cuma nak cari salah - biarpun Sapura bukan syarikat majoriti milik GLC sebelum tahun 2019.
“Kami positif mindset, mereka terlampau negatif.
“Lemah, Rafizi. Try again,” sindirnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai