Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

19,500 hektar CTT hutan simpan dibenarkan di Kelantan

DUN KELANTAN | Majlis Tanah Negara meluluskan sebanyak 19,500 hektar Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hutan simpan di Kelantan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri besarnya Ahmad Yakob berkata, perkara itu diluluskan menerusi mesyuarat MTN ke-77 yang bersidang September 2020.

Katanya, tebangan tahunan dari 2021 sehingga 2025 adalah melibatkan 3,900 hektar setahun.

Bagi mengelak berlakunya penebangan hutan secara haram, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan mengambil beberapa pendekatan termasuk penggunaan dron.

"Kita juga membuat rondaan secara berskala di lokasi panas yang dikenal pasti dalam usaha mengekang kegiatan penebangan hutan secara haram," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) pada persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Ketika mencelah soalan tambahan daripada Adun Salor sama ada hutan simpan boleh dijadikan kawasan pertanian, Ahmad berkata tidak dibenarkan sebarang aktiviti pertanian di hutan simpan kecuali spesis hutan yang dibenarkan.

"Dalam 19,500 hektar yang dibenarkan itu, hanya spesis hutan sahaja dibenarkan," katanya.